KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa orang miskin sepatutnya menikmati lebih banyak subsidi minyak berbanding orang kaya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian daripada BN itu berkata, dasar pemberian subsidi minyak yang dilakukan kerajaan sekarang bersifat terbalik kerana orang kaya yang memiliki banyak kereta lagi banyak menerima subsidi itu.
“Orang miskin yang ada hanya sebuah motosikal, (hanya merasa) sedikit subsidi. Ini subsidi apa?
“Jadi saya cadangkan subsidi itu dilakukan secara bersasar, jangan ‘tersasar’,” katanya ketika membahaskan Rang Undang -Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ahmad sebelum itu turut mempersoalkan sama ada kerajaan mahu meneruskan pemberian subsidi ‘tersasar’ berkenaan iaitu orang yang memiliki lebih banyak kenderaan akan dapat lebih banyak subsidi.
Katanya, menerusi subsidi ‘tersasar’ itu orang kampung yang cuma bermotosikal hanya menikmati sedikit sahaja subsidi tersebut.
“Saya ingin bertanya kepada Kementerian Kewangan di mana mereka ingin mencari subsidi RM8 bilion untuk subsidi minyak untuk tahun ini? Minyak naik maka subsidi juga meningkat.
“Tahun depan diberitakan bahawa subsidi minyak (yang diperuntukkan kerajaan dalam Bajet 2022) sebanyak RM15 bilion. Di manakah kerajaan ingin mencari subsidi ini? Adakah kita ingin meneruskan subsidi ‘tersasar’?,” soal beliau.