Home bajet2022 Kurangkan birokrasi pemberian bantuan kepada rakyat

Kurangkan birokrasi pemberian bantuan kepada rakyat

0
Kurangkan birokrasi pemberian bantuan kepada rakyat

SHAH ALAM – Kerajaan perlu mengurangkan birokrasi dalam urusan pemberian bantuan kepada rakyat agar tidak berlaku pertindanan atau ketirisan sepanjang proses tersebut.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Bajet 2022 perlu dijadikan sebagai peluang untuk menyusun semula dan menyatukan program bantuan sedia ada dengan matlamat untuk mempermudah rakyat memohon bantuan kerajaan.

“Saya rasa perlu ada usaha untuk mempermudah dan memperkemas pelbagai skim bantuan yang wujud dalam negara.

“Contohnya, saya ada berbual dengan penduduk di Bukit Tangga dan Guar Napai dalam Parlimen Kubang Pasu, Kedah. Ramai juga yang tidak jelas apa bantuan yang mereka layak terima.

“Akibatnya, ada beberapa skim yang mereka sebenarnya layak tetapi tidak pernah mohon. Ini adalah perkara yang merugikan kerana dalam era Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelbagai skim yang menyentuh semua strata rakyat telah dimulakan,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Isnin.

Sementara itu, Wan Saiful berharap Bajet 2022 akan memulakan langkah ‘streamline’ atau memperkemas skim-skim bantuan supaya proses permohonan dapat disatukan dan dimudahkan.

Beliau turut mencadangkan untuk mewujudkan pangkalan data induk semua penerima bantuan yang boleh diakses oleh semua agensi terbabit.

“Ini akan membolehkan kerajaan membentuk satu gambaran besar mengenai penerima, pemohon dan bantuan-bantuan yang layak mereka terima.

“Permudahkan juga proses permohonan agar pemohon mengisi satu borang sahaja. Tak perlu lagi isi pelbagai borang untuk mohon bantuan daripada agensi berbeza. Ini memerlukan kerjasama antara kementerian dan agensi.

“Selain itu, konsep cukai pendapatan negatif yang dipopularkan Profesor Milton Friedman boleh dijadikan panduan di mana satu penanda aras ditetapkan kerajaan dan mereka yang berpendapatan kurang daripadanya diberi bantuan untuk membolehkan mereka mencapai aras tersebut,” tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here