Dr Zaliha
PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik penetapan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape serta penetapan separuh hasil duti eksais diperuntukkan semula ke kementerian.
Menerusi kenyataan, Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM menerima peruntukan kedua terbesar dengan peningkatan sebanyak 12 peratus kepada RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun 2022.
“Bagi mempertingkatkan usaha untuk memperkukuh kawalan tembakau dan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok serta mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok dan vape, KKM menyambut baik komitmen kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU)
Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersama Generasi Penamat (GEG),” katanya.
Menurutnya, sejumlah RM3 bilion juga diperuntukkan bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.
“Melalui peruntukan yang diberikan ini juga, KKM akan memastikan beberapa langkah bagi mengatasi kesesakan akan diambil seperti mengoptimum penyumberluaran pesakit daripada hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta,” katanya.
Beliau berkata, dalam belanjawan itu juga, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM120 juta bagi memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus bagi golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am dan swasta.
“Skim ini merupakan satu projek rintis yang menyasarkan golongan B40 dengan menyediakan kemudahan kredit untuk berjumpa Pegawai Perubatan Am di klinik swasta tanpa perlu ke Jabatan Kecemasan.
“Ia juga merupakan satu langkah bagi mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit,” katanya.
Dr Zaliha berkata, kerajaan juga mencadangkan hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan serta para penderma akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus.
“Melalui belanjawan ini, KKM akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir RM700 juta ringgit bagi Hospital Melaka,” katanya.
Tambah beliau, kerja awalan bagi menaik taraf 26 buah hospital akan dimulakan dalam usaha menaiktaraf Hospital Kuala Kangsar, Perak, Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor.
“Turut mendapat manfaat dalam pembentangan belanjawan pada kali ini sejumlah RM80 juta bagi memperkasa Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40), iaitu skim bagi pemeriksaan atau saringan awal khas untuk golongan B40 dan turut merangkumi saringan penyakit kencing manis,” ujar beliau.
Menurutnya, KKM juga menyambut baik had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan bermula tahun taksiran 2023.
“Kenaikan had pelepasan cukai daripada RM8,000 kepada RM10,000 akan turut meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti Autisme, Down Syndrome dan Specific Learning Disabilities.
KKM sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan akan terus memanfaatkan peruntukan dan perhatian yang diberi,” katanya.