Home bajet2022 Kerajaan tegaskan Cukai Makmur sekali sahaja

Kerajaan tegaskan Cukai Makmur sekali sahaja

0
Kerajaan tegaskan Cukai Makmur sekali sahaja
Johan Mahmood Merican – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan pada Isnin menegaskan bahawa Cukai Makmur adalah cukai korporat yang dikenakan sekali sahaja ke atas syarikat yang memperoleh keuntungan melebihi RM100 juta bagi tahun taksiran 2022.

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, kerajaan komited memastikan penggunaan Cukai Makmur dibentangkan secara telus dan ia dimaksudkan sebagai cukai sekali sahaja untuk membantu menyokong beberapa peningkatan keperluan bagi menangani krisis kesihatan Covid-19.

“Sistem cukai kita sebenarnya berdasarkan peringkat syarikat. Kita tidak melihat kumpulan syarikat sebaliknya, mereka akan dikenakan cukai mengikut peringkat syarikat secara berasingan.

“Dari segi penggunaan pula, mengikut undang-undang, semua cukai dimasukkan ke dalam dana yang disatukan,” katanya dalam program ‘Breakfast Grille’ yang dikendalikan saluran radio BFM pada Isnin.

Pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat berkata kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara sekali sahaja, iaitu Cukai Makmur, kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan.

“Syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pada tahun depan, ekonomi negara diunjurkan terus berkembang pada 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan strukturnya yang pelbagai.

Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Sebanyak RM332.1 bilion diperuntukkan tahun depan, dengan RM233.5 bilion daripada jumlah tersebut akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang Covid-19.

Jumlah keseluruhan perbelanjaan itu merupakan 20.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Johan berkata, pihaknya yakin terdapat beberapa ratus syarikat yang akan dikenakan cukai tersebut.

“Saya berpandangan bukan mudah untuk menjadi terlalu kreatif, dan kita berharap wujud kesedaran warga korporat bahawa inilah masanya bagi keperluan negara, dan mereka akan melaksanakan peranan masing-masing untuk menyumbang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan tindakan pengimbangan melalui peruntukan berjumlah RM332.1 bilion untuk Bajet 2022 selain mengurangkan defisit fiskal secara sederhana kepada 6.0 peratus daripada KDNK tahun depan, daripada unjuran 6.5 peratus pada 2021.

“Seperti yang dikatakan oleh menteri, kita tidak mahu menarik balik sokongan fiskal sebelum sampainya, oleh itu, penting Bajet 2022 kekal sebagai pendirian pengembangan fiskal untuk memastikan apabila kita pulih, ia benar-benar dapat mengekalkan momentum pertumbuhan," katanya.

Johan berkata, kerajaan juga menyasar untuk meningkatkan pekerjaan dan memulihkan pendapatan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here