TANJONG KARANG – Kerajaan memberikan tumpuan yang serius untuk membantu usahawan dalam pembentangan Bajet 2022
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, pengumuman Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 semalam sejajar dengan usaha yang telah dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Menurut Noh, MEDAC juga telah menubuhkan jawatankuasa pemantau di peringkat kementerian untuk memastikan langkah yang dilaksanakan sampai ke akar umbi.
“Jika rakyat menerima penjelasan yang berbeza dengan apa yang telah saya umumkan, sila hantar laporan atau aduan kepada pihak kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi 2021 di sini pada Sabtu.
Karnival itu dianjurkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dengan kerjasama Bank Rakyat, Institut Koperasi Malaysia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Co-opbank Pertama, disokong agensi di bawah MEDAC.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan replika cek geran, bantuan perniagaan serta pembiayaan kepada usahawan, koperasi serta perusahaan kecil dan sederhana terutamanya bagi kawasan Tanjong Karang dan Kuala Selangor.
Antara bantuan itu adalah Geran Bantuan Pembangunan Perniagaan Koperasi kepada 16 koperasi berjumlah RM2.8 juta dan pembiayaan Bank Rakyat sebanyak RM43.3 juta kepada 15 usahawan dan koperasi. – Bernama