Home bajet2022 Kerajaan ambil pendekatan bertanggungjawab rangka Bajet 2023

Kerajaan ambil pendekatan bertanggungjawab rangka Bajet 2023

Kerajaan ambil pendekatan bertanggungjawab rangka Bajet 2023

Anwar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal pada Jumaat. – Foto Pejabat Perdana Menteri

SHAH ALAM – Kerajaan akan mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam merangka Bajet 2023 yang mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi berhemat dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, langkah ini akan dilaksanakan walaupun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek ekonomi global.

“Pada tahun 2022, hutang dan liabiliti kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dengan nisbah khidmat hutang dijangka akan melebihi 15 peratus daripada hasil. Pertumbuhan global juga dijangka menyederhana pada tahun 2023.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi,” katanya pada Jumaat.

Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) terdahulu bersidang buat kali pertama tahun ini dan antara yang menganggotainya adalah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Kenyataan Media Berkenaan Jawatankuasa Dasar Fiskal (3 Februari 2023) pic.twitter.com/odUCrxJRMU

— Ministry of Finance (@MOFmalaysia) February 3, 2023

Tambah Pejabat Perdana Menteri, Bajet 2023 akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial.

“Ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Malaysia Madani supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.

“Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabliti kerajaan berbanding KDNK terkawal,” ujarnya.

Menurutnya, Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari ini akan turut merangkumi langkah-langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam yang bertujuan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakelola kerajaan.

Bajet ini juga katanya, akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi menggalakkan pembangunan yang inklusif terutamanya melalui pemerkasaan perkhidmatan kerajaan dan infrastruktur luar bandar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here