Hannah Yeoh mengadakan sidang media selepas sesi Townhall Bersama Industri Sukan di Menara KBS hari ini. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap peruntukan kepada kementeriannya dalam bajet tahun ini dan tahun hadapan tidak akan dipotong.
Beliau berkata, ini kerana atlet negara bakal menggalas misi penting tahun hadapan khususnya Sukan Olimpik 2024 yang bakal berlangsung di Paris, Perancis.
“Saya sudah bisik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tadi, bajet tahun ini dan tahun depan semestinya tak boleh dipotong kerana kita ada Sukan Olimpik,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin ketika berucap pada Anugerah Sukan Negara 2021, di sini hari ini.
Bajet 2023 dijangka dibentangkan Anwar pada mesyuarat Dewan Rakyat 24 Februari.
Perdana Menteri dalam ucapannya di ASN 2021, mencabar kontinjen Malaysia untuk melakar sejarah dengan membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik, tahun depan.
Dalam pada itu, Hannah menyifatkan pencapaian kontinjen negara pada 2021 tidak menghampakan, dengan menyumbang satu perak serta gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, diikuti pencapaian terhebat dilakar atlet para di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, dengan tiga emas dan dua perak.
Menerusi pengiktirafan di ASN 2021 kali ini, beliau juga berharap pencapaian dilakar para pemenang dapat menjadi penyuntik semangat untuk berjuang, selain menjadi inspirasi serta mencetuskan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seiring dengan konsep ‘Malaysia Madani’ diilhamkan Anwar, beliau menyeru semua pihak dalam sukan negara, bekerjasama untuk terus mengemudi dan mengangkat semula martabat negara di persada dunia.
“Antara enam rukun penting dalam konsep tersebut ialah keyakinan dan perbincangan kolektif antara semua pihak atau musyawarah.
“Tahap keyakinan yang tinggi perlu ada pada setiap atlet, jurulatih dan kru sukan yang terlibat, dan ini merupakan tunjang kepada kejayaan dan pencapaian sukan yang tinggi,” katanya.
Anugerah berprestij yang mula diperkenalkan sejak 1966 itu merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan. – Bernama