Home bajet2022 K-KOMM sifatkan Bajet 2023 ikhlas bantu rakyat

K-KOMM sifatkan Bajet 2023 ikhlas bantu rakyat

0
K-KOMM sifatkan Bajet 2023 ikhlas bantu rakyat
Zahidi Zainul

GEORGE TOWN – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menyifatkan Bajet 2023 sebagai belanjawan yang ikhlas untuk membantu rakyat dalam pascapandemik, khususnya mereka dalam industri kreatif.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan RM50 juta untuk Dana Penerbitan Filem Kenegaraan manakala RM102 juta untuk Dana Kandungan Digital bagi memacu industri kreatif tempatan dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya.

“Belanjawan kali ini cukup hebat dan peruntukan ini adalah memang ikhlas untuk membantu rakyat dalam pascapandemik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Program Pertandingan Jaguh Boria pada Sabtu.

Beliau berkata, belanjawan itu jelas menunjukkan sokongan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemajuan industri kreatif tempatan.

“Kami warga K-KOMM amat berterima kasih kepada kerajaan yang menyediakan peruntukan yang cukup banyak kepada K-KOMM,” katanya.

Zahidi berkata, belanjawan itu juga membuktikan bahawa kerajaan mempunyai wang yang mencukupi dan berharap tiada lagi pihak yang menyangka kononnya kerajaan tiada wang untuk membantu rakyat.

“Belanjawan ini dibuat mengikut kemampuan kita (kerajaan) dan jangan salah sangka kononnya kerajaan tiada duit dan membuat belanjawan tipu,” katanya.

Pembentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Finas diberi potongan cukai, manakala duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran dikecualikan.

Tengku Zafrul turut mengumumkan bahawa RM700 juta akan disediakan bagi inisiaitif Jalinan Digital Negara (Jendela) tahun hadapan bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 3,700 sekolah.

Turut diberikan perhatian adalah liputan Internet yakni kerajaan bakal menyediakan 100 peratus liputan Internet di kawasan berpendudukan dan liputan gentian optik kepada sembilan juta premis di seluruh negara menjelang 2025 di bawah projek Jendela Fasa 2, manakala Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi bagi tahun 2023. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here