Home bajet2022 Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar pengiktirafan kepada guru: NUTP

Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar pengiktirafan kepada guru: NUTP

0
Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar pengiktirafan kepada guru: NUTP

KUALA LUMPUR – Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar sekali bayar sebanyak RM100 seperti diumumkan dalam Bajet 2022 merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan buat guru yang bertungkus lumus menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung NUTP, Wang Heng Suan berkata, pihaknya yakin warga pendidik menghargainya, dan sebenarnya ia bukan diukur pada nilai yang diterima.

“NUTP menyokong dan menghargai segala intipati Bajet 2022 diumumkan untuk Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi, dan yakin keputusan dibuat telah diambil kira dari pelbagai sudut,” katanya menerusi kenyataan.

“Ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan buat guru-guru yang telah bertungkus lumus tanpa mengira masa dalam menjayakan PdPR sepanjang PKP3.0 akibat pandemik COVID-19,” tambahnya. Bagaimanapun beliau berkata, NUTP memohon agar kerajaan melihat semula rebat RM1,000 kepada guru bagi pembelian komputer riba yang digunakan semasa PdPR.

Jelasnya, NUTP menyuarakan pandangan itu setelah meneliti dan mengambil kira suara dan pandangan daripada guru ketika mereka mengendalikan PdPR, apabila ketika itu guru tidak dibekalkan peruntukan dan kemudahan peranti dalam menjayakan PdPR.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini berkata, Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 itu diberikan kepada lebih 400,000 guru sekolah di bawah KPM. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here