Home bajet2022 Industri kreatif, capaian internet, ekonomi digital diberi perhatian

Industri kreatif, capaian internet, ekonomi digital diberi perhatian

0
Industri kreatif, capaian internet, ekonomi digital diberi perhatian

KUALA LUMPUR – Industri kreatif, capaian internet dan ekonomi digital diberi perhatian sewajarnya dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, tiada sesiapapun yang tertinggal dalam Keluarga Malaysia menerusi Bajet 2022.

“Banyak perkara yang diumumkan dalam Bajet 2022 bagi membela semua lapisan masyarakat #KeluargaMalaysia.

“Kami di KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) amat gembira apabila perhatian yang sewajarnya diberikan khususnya buat industri kreatif, capaian internet dan ekonomi digital bagi memacu pembaharuan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook dan Twitter.

Pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) akan dipergiat tahun depan dengan penyediaan RM700 juta untuk meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 sekolah terutama di luar bandar.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga akan memperuntuk RM30 juta bagi kemudahan Internet di 40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada bagi memastikan penduduk di kawasan itu tidak ketinggalan.

Bagi meningkatkan penerapan digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan menaikkan Skim Geran Pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada RM200 juta dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here