Home bajet2022 Dana khas RM2 bilion tarik pelaburan asing strategik

Dana khas RM2 bilion tarik pelaburan asing strategik

0
Dana khas RM2 bilion tarik pelaburan asing strategik

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyediakan dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional melalui Bajet 2022.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bertujuan menarik pelaburan asing ke dalam negara, khususnya yang dapat melengkapkan rantaian nilai industri dan memacu penjanaan pekerjaan berteraskan pengetahuan dan peluang pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Bagi memperkasa daya pemulihan ekonomi negara, bajet ini memperuntukkan RM25 juta untuk meneroka pelaburan berimpak tinggi dan pasaran eksport baharu melalui misi perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Bajet itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Beliau berkata, untuk memenuhi keperluan kemahiran terutamanya oleh industri dengan aktiviti nilai tambah tinggi, RM80 juta akan disediakan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi melatih 20,000 pekerja yang menyokong kluster industri seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Subang, Selangor; elektrik dan elektronik di Kulim, Kedah; serta kimia di Gambang, Pahang.

“Di samping itu, RM50 juta juga disediakan melalui pusat pembangunan kemahiran negeri seperti di Sarawak, Johor dan Pulau Pinang, bagi meningkatkan tahap kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk 5,000 pekerja dalam bidang seperti kimpalan minyak dan gas, automasi perindustrian dan mekatronik,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, dalam usaha untuk merancakkan penglibatan pemain industri tempatan menceburi bidang perkhidmatan teknologi dron, geran padanan bernilai RM100 juta disediakan untuk syarikat bumiputera meneroka peluang perniagaan dalam bidang aeroangkasa.

Beliau berkata, bagi meningkatkan produktiviti melalui automasi, beliau berkata kerajaan turut menyediakan RM100 juta sebagai geran Automasi Pintar kepada 200 syarikat pembuatan dan perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan mereka.

“Kerajaan juga akan melanjutkan elaun pelaburan semula (EPS) tambahan selama dua tahun lagi bagi syarikat sedia ada di Malaysia yang telah tamat tempoh kelayakan EPS dan EPS khas. Ini menjadikan tempoh keseluruhan EPS tambahan ini kepada lima tahun.

“Langkah ini adalah antara cadangan daripada Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) yang telah dipertimbangkan untuk Bajet 2022,” katanya.

Tengku Zafrul memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus meneliti cadangan seumpamanya bagi menambah baik kelancaran urusan perniagaan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here