Mohamad Norza – Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Penyediaan dana geran padanan berjumlah RM50 juta yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 pada Jumaat bakal menguntungkan industri sukan negara.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan inisiatif itu sebagai permulaan positif untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan seterusnya memberi ruang kepada lebih banyak penglibatan sektor swasta dalam membangunkan sukan negara.
“Inisiatif geran padanan merupakan satu permulaan untuk tidak mengharapkan bantuan 100 peratus kepada kerajaan seperti yang berlaku selama ini.
“Saya pasti inisiatif berkenaan akan menarik sektor swasta untuk terlibat sama dalam industri sukan negara. Ini kerana sekiranya mereka beri dana RM50 juta maka kerajaan juga akan beri jumlah dana sama,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dana geran padanan berjumlah RM50 juta itu bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan khususnya yang berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan.
Mohamad Norza juga berkata, penyediaan dana berjumlah RM324 juta oleh kerajaan untuk terus menambah baik program latihan dan kemudahan sukan bagi memberi manfaat kepada semua atlet termasuk atlet para adalah mencukupi.
Beliau optimis dana itu dapat diguna sebaik mungkin dalam program ‘Road To Gold’ bagi merealisasikan pingat emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024 memberi manfaat dalam Program Podium selain membantu kontinjen negara menghadapi dua temasya sukan tahun ini iaitu Sukan SEA di Kemboja dari 5 hingga 17 Mei dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dari 23 September hingga 8 Oktober.
Katanya, cadangan kerajaan untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet juga dapat merangsang syarikat swasta untuk membantu golongan itu dalam meneruskan kelangsungan hidup selepas meninggalkan arena sukan negara.
Bagaimanapun, Mohamad Norza berharap syarikat swasta bergiat lebih aktif dan menyalurkan bantuan lebih banyak berbanding kerajaan bagi membantu bekas atlet negara.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed pula berpendapat cadangan potongan cukai kepada majikan merupakan langkah penting bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada bekas atlet yang telah bersara.
Beliau turut mengulangi pendirian untuk menaikkan bayaran 12 skim bantuan kepada ahli Yakeb termasuk kos sara hidup, kos peralatan perubatan dan kos pesakit luar seperti yang telah dinyatakannya selepas pembentangan Bajet 2023 oleh bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Oktober tahun lepas.
Katanya, ketika ini, ahli yang memohon bantuan kos sara hidup menerima RM300 sebulan untuk tempoh enam bulan diikuti RM20,000 bagi kos peralatan perubatan setahun dan RM2,500 untuk kos pesakit luar, juga setahun. – Bernama