Home bajet2022 BKM beri ‘nafas’ baharu kepada ibu, bapa tunggal

BKM beri ‘nafas’ baharu kepada ibu, bapa tunggal

0
BKM beri ‘nafas’ baharu kepada ibu, bapa tunggal

KOTA BHARU – Pengumuman kerajaan mengenai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) disambut baik rakyat di negeri Kelantan terutamanya mereka yang terdiri daripada ibu dan bapa tunggal.

Seorang ibu tunggal, Suraya Omar, 45, berkata, dia amat bersyukur dengan pemberian BKM tersebut selepas terpaksa memulakan kehidupan baharu ekoran penularan Covid-19.

“Saya berniaga secara kecil-kecilan. Dengan adanya bantuan ini, bolehlah saya ‘bernafas’ sikit.

“Saya juga berharap kerajaan akan mempermudahkan urusan pinjaman untuk usahawan kecil meneruskan perniagaan masing-masing selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Peniaga, Anita Sumitra Syed Omar, 52, pula berkata, bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menyelesaikan beberapa tunggakan sewa kedai ekoran tidak dapat menjalankan perniagaan baru-baru ini.

“Saya ibu tunggal dan bekerja sendiri sejak 2019. Saya ada tiga anak dalam tanggungan, alhamdulillah dengan adanya bantuan ini dapatlah saya beli keperluan kami, selain membayar tunggakan sewa kedai. Terima kasih kerajaan kerana dengar suara kami,” katanya.

Seorang warga emas, Ismail Dollah, 72, juga berbesar hati dengan pengumuman kerajaan yang tidak menyisihkan golongan itu untuk menerima bantuan BKM.

Katanya, kerajaan dilihat membuat penilaian secara menyeluruh dan apa yang diumumkan adalah sesuatu yang memang dinantikan rakyat seluruh negara.

“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana bantu kami. Permudahkan segala urusan kami yang berada di bawahan ini supaya kami dapat meneruskan hidup dalam keadaan ekonomi yang baru hendak pulih,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here