Home bajet2022 Bersih kesal, PM tak sentuh peruntukan untuk pembangkang

Bersih kesal, PM tak sentuh peruntukan untuk pembangkang

0
Bersih kesal, PM tak sentuh peruntukan untuk pembangkang

Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani pada Jumaat. – Foto Bernama

SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menzahirkan kekesalan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak menyentuh mengenai peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada ahli Parlimen pembangkang dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Jelas gabungan itu, tindakan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip Malaysia Madani diperjuangkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Ahli Parlimen Tambun terutamanya dalam aspek pelaksanaan reformasi.

Tambahnya lagi, kerajaan dan pembangkang sepatutnya perlu duduk bersama dan berunding untuk membawa undang-undang yang akan memastikan peruntukan yang saksama.

“Perikatan Nasional (PN) dengan 74 ahli Parlimen mewakili 4,666,529 pengundi atau 30 peratus daripada jumlah pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Menahan CDF ini adalah tidak menghormati pilihan dan hak pengundi untuk mengundi siapa yang mereka ingin mewakili mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bersih menambah, peruntukan itu amat diperlukan bagi memberikan khidmat kepada kawasan Parlimen mereka dengan lebih efisien termasuk menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan Persekutuan atau negeri.

Jelasnya, CDF kepada pembangkang tidak seharusnya menjadi isu kerana ahli Parlimen blok kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM1.3 juta setahun yang merupakan pertambahan kos dengan hanya 0.024 peratus atau RM96.2 juta daripada Belanjawan 2023 berjumlah RM386 bilion.

Ujar gabungan itu, CDF hakikatnya dilihat sebagai alat untuk menghukum dan menekan pihak tersebut daripada memberikan khidmat yang sepatutnya.

“Taktik sebegini telah digunakan sebelum ini untuk menggoda wakil rakyat pembangkang melompat dan penjajaran semula parti sebagaimana yang kita lihat pasca kejatuhan Barisan Nasional (BN) selepas 9 Mei 2018, sehingga tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021.

“Taktik menekan pembangkang tidak berkesan setiap masa kerana PH tetap cemerlang sebagai pembangkang dulu malah memenangi PRU14 tanpa sebarang peruntukan CDF,” katanya.

Justeru, sudah tiba masanya satu rundingan damai merentasi parti politik diadakan bagi menetapkan peraturan persaingan yang adil antara kerajaan dan pembangkang, agar tiada penafian dengan cara tidak demokratik.

“Sekiranya Anwar tidak mengambil langkah mula, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk menyediakan rang undang-undang persendirian (RUU) bagi peruntukan CDF yang saksama,” ujar Bersih.