Home bajet2022 Belanjawan 2023: Usahawan belia desa harap lebih banyak bantuan

Belanjawan 2023: Usahawan belia desa harap lebih banyak bantuan

0
Belanjawan 2023: Usahawan belia desa harap lebih banyak bantuan

Mohd Nur Adzwan berharap Belanjawan 2023 memberi fokus kepada usaha meningkatkan bekalan makanan negara dengan menyalurkan bantuan kepada penternak dan petani.Noor Saiful Amri meminta kerajaan memberi kemudahan kepada usahawan desa memasarkan produk menerusi pembukaan lebih banyak pusat jualan terus.

PONTIAN – Golongan usahawan belia desa sektor pertanian dan penternakan berharap lebih banyak bantuan dan inisiatif program dilaksanakan kerajaan menerusi Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Walaupun berdepan kenaikan harga barangan, namun ia tidak menghalang usahawan belia desa mengeluarkan produk pertanian dan penternakan bermutu bagi menampung keperluan makanan negara.

Penternak ayam kampung, Mohd Nazri Anuar, 28, berkata, bantuan daripada kerajaan sedikit sebanyak membantunya meningkatkan pengeluaran ayam kampung kacuk yang diusahakan di Kampung Tengah Ayer Baloi.

Jelasnya, penternakan ayam kampung mempunyai potensi besar dikembangkan sebagai salah satu perniagaan masyarakat luar bandar.

“Perhatian sewajarnya diberikan kerajaan kepada usahawan belia desa yang terbabit dalam pengeluaran makanan. Selain dapat mengelakkan mengurangkan import makanan, mereka juga turut menjana ekonomi orang kampung.

“Dengan adanya bantuan tersebut, ia dapat membuka ruang kepada kami untuk lebih maju mengusahakan produk- produk berkualiti selain meningkatkan keluaran untuk tampung permintaan pelanggan,” katanya.

Sementara itu bagi pengusaha tanaman cendawan di Kampung Parit Hassan Benut, Noor Saiful Amri Suloh, 38 pula meminta kerajaan memberi kemudahan kepada usahawan desa memasarkan produk menerusi pembukaan lebih banyak pusat jualan terus.

Katanya, ramai golongan belia yang terbabit secara kecil-kecilan dalam bidang pertanian, namun masih berdepan kekangan untuk memasarkan produk mereka disebabkan kewujudan orang tengah.

“Belanjawan kali ini, kerajaan perlu beri perhatian kepada usaha membantu usahawan belia desa dari segi pemasaran supaya produk mereka dapat dijual terus ke bandar.

“Sekiranya tiada usaha meningkatkan pemasaran produk dari desa ini, pastinya ramai yang berdepan cabaran untuk meneruskan perniagaan mereka.

“Pada saya, pusat jualan terus hasil pertanian di setiap daerah dan kawasan taman perumahan di bandar raya seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri wajar diwujudkan,” katanya.

Bagi penternak ayam kampung, Mohd Nur Adzwan Mahamad, 38, berharap Belanjawan 2023 memberi fokus kepada usaha meningkatkan bekalan makanan negara dengan menyalurkan bantuan kepada penternak dan petani.

**media[2101175]**

“Bantuan disalurkan amat diperlukan penternak yang kini berdepan kenaikan harga dedak makanan haiwan. Kenaikan berterusan harga dedak cukup merisaukan penternak.

“Dengan adanya bantuan ini ia dapat meringankan beban kami sekaligus mampu meningkatkan pengeluaran ayam kampung,” katanya.