Home bajet2022 Belanjawan 2023: Tiada 'peruntukan khas' buat e-sukan – KBS

Belanjawan 2023: Tiada 'peruntukan khas' buat e-sukan – KBS

0
Belanjawan 2023: Tiada 'peruntukan khas' buat e-sukan – KBS

Hannah (tengah) bersama timbalannya, Adam Adli Abdul Halim (kanan) ketika hadir bagi menonton Malaysia Esports siri dokumentari yang bertajuk ‘Jalur 14’ di sebuah pusat beli belah hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menyediakan peruntukan khas untuk e-sukan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, peruntukan untuk KBS pada tahun ini akan merangkumi semua jenis sukan dalam memastikan kelangsungan pembangunan sukan tanah air.

“Kita beri keutamaan kepada semua sukan, kita ada banyak jenis sukan, kita tak ada lihat ada bajet khas untuk e-sukan, e-sukan sudah jadi main stream untuk KBS.

“Ini bermaksud, setiap tahun memang akan ada peruntukan untuk e-sukan, cuma jumlah kita tidak boleh beritahu,” katanya pada sidang media selepas pratonton Jalur 14 siri kedua di Dadi Cinema, Pavillion, ibu negara hari ini.

Jalur 14 adalah dokumentari mengenai 14 lagenda e-sukan di Malaysia.

Bagaimanapun Hannah berkata, sebarang keputusan mengenai jumlah bajet kementerian itu akan diputuskan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Hannah juga berkata, tidak banyak perubahan mengenai inti pati bajet tahun ini bagi kementerian tersebut berbanding yang telah dibentangkan sebelum ini.

“Kami tidak mempunyai komponen luar biasa dan ia tidak akan berubah dengan banyak berbanding tahun lepas,” katanya. – Bernama