Home bajet2022 Belanjawan 2023 martabatkan MA63

Belanjawan 2023 martabatkan MA63

0
Belanjawan 2023 martabatkan MA63

Fadillah (tengah) mengadakan sidang media di lobi Dewan Rakyat pada Jumaat. – Foto Bernama

KUCHING – Peningkatan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2023 berbanding belanjawan tahun lepas membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, belanjawan yang bertemakan Membangun Malaysia Madani juga jelas membuktikan komitmen dan iltizam berterusan kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur Sabah dan Sarawak.

“Ini terbukti dengan sejumlah RM20 bilion diperuntukkan untuk menerus dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Pan Borneo Sarawak serta Sabah Sarawak Link Road dengan jajaran lebih 1,000 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sabah menerima peruntukan berjumlah RM6.5 bilion dalam Belanjawan 2023 berbanding RM5.16 bilion pada 2022, manakala Sarawak menerima peruntukan RM5.6 bilion pada 2023 berbanding RM4.67 bilion pada 2022.

Turut difokuskan adalah projek jalan utama Sabah Sarawak, jalan di sempadan dan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan Nusantara akan menjadi bandar baharu Kalimantan.

Fadillah berkata, usaha ini bagi menambah baik hubungan yang membuka pelbagai peluang di negara ini dan Kalimantan.

“Hubungan manusia kepada manusia, perniagaan dengan perniagaan dan Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) akan dapat diperkukuhkan sekiranya logistik ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga terus komited dalam meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan bersetuju memuktamadkan Pemberian Khas Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi Sarawak dengan jumlah pemberian khas sekurang-kurangnya RM300 juta.

Menurutnya sejak tahun 1973, kadar Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak masing-masing kekal pada RM26.7 juta dan RM16 juta.

Kerajaan Persekutuan juga komited dalam menyegerakan rundingan untuk formula baharu.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa melulus perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak bagi projek sehingga RM50 juta.

“Ini akan memberi impak positif terhadap usaha mempercepat pembangunan di kedua-dua wilayah berkenaan,” katanya dan menambah kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan 400 klinik daif dan 380 sekolah daif di kedua-dua negeri berkenaan. – Bernama