Home bajet2022 Bajet 2023 usaha pulih ekonomi, utama kebajikan rakyat

Bajet 2023 usaha pulih ekonomi, utama kebajikan rakyat

0
Bajet 2023 usaha pulih ekonomi, utama kebajikan rakyat
Pembentangan Bajet 2023 dilihat realistik dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara pasca pandemik Covid-19 dengan mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat secara keseluruhan. – Foto Bernama.

KUALA LUMPUR – Pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat dilihat realistik dalam usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi negara pasca pandemik Covid-19 dengan mengutamakan aspek kebajikan dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, belanjawan tahun depan itu juga dilihat mencakupi semua spektrum golongan rakyat termasuk golongan muda, mahasiswa, belia, wanita, warga emas Orang Asli, Orang Kurang Upaya, peniaga kecil dan penjaja serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Sebagai negeri yang berasaskan pelancongan, kerajaan negeri Melaka amat menyambut baik penyediaan Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion, yang bertujuan untuk pemulihan sektor perhotelan, pembaharuan bandar dan pemuliharaan warisan,” katanya dalam kenyataan media.

Selain itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang diberikan kepada negeri itu dengan menambah baik jaringan lebuh raya ke Pengerang melalui pembinaan memotong di Senai Desaru Expressway.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan juga bersetuju melaksanakan projek menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan di Senai Utara-Pandan, Johor Bahru daripada empat kepada enam lorong dengan kos RM510 juta.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyeru seluruh jentera kerajaan negeri, sektor swasta dan rakyat agar mengambil peluang dan manfaat daripada Bajet 2023.

Beliau berkata, belanjawan tersebut memberikan perhatian serius kerajaan untuk sektor pertanian khususnya bagi membasmi kemiskinan, melindungi pesawah padi, meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan sebagainya adalah sangat tepat selain menangani isu sekuriti makanan di negara ini. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here