KUALA LUMPUR – Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober depan akan terus memberi tumpuan kepada mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara serta menjana pertumbuhan yang lebih mampan dalam jangka masa panjang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ekonomi Malaysia masih berada di landasan yang kukuh disokong oleh asas ekonomi yang berdaya tahan, dasar pragmatik dan kepelbagaian struktur ekonomi.
Namun begitu, katanya, pengurusan ekonomi negara pada 2022 dijangka menjadi lebih mencabar.
“Unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada 2022 dan 2023 oleh pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah disemak semula dan diturunkan.
“IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi dunia bagi 2022 kepada 3.2 peratus pada Julai berbanding 3.6 peratus pada April, dan 4.4 peratus pada Januari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mustapa berkata, bagi 2023, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia telah diturunkan daripada 3.8 peratus pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus pada Julai.
Mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia, beliau berkata, negara dijangka mampu mencapai sasaran antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus pada tahun ini.
“Ia mengambil kira pencapaian separuh pertama tahun 2022 sebanyak 6.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Mustapa berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan dalam melaksanakan pakej rangsangan dan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur telah mengurangkan impak besar daripada krisis pandemik Covid-19 dan juga menyokong pemulihan semula pertumbuhan ekonomi. – Bernama