Home bajet2022 Bajet 2023 pulih semangat usahawan

Bajet 2023 pulih semangat usahawan

0
Bajet 2023 pulih semangat usahawan
Zainol Fadzi (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Hari Sukan Negara 2023 peringkat negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz pada Sabtu.

IPOH – Inisiatif perniagaan yang diumumkan menerusi Bajet 2023 berupaya membina semula keyakinan dan semangat usahawan yang terkesan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, beberapa kelonggaran dan pengecualian pembiayaan yang diperkenalkan kerajaan dapat meletakkan kembali usahawan dalam landasan pemulihan yang betul.

Menurutnya, melewati fasa pandemik ini, usahawan masih memerlukan peranan dan sumbangan daripada kerajaan meskipun ada antara mereka berjaya keluar dari kemelut ekonomi.

“Dulu kita jangka satu tahun sudah boleh meneruskan perniagaan, tetapi sebenarnya tidak, perlu tempoh lebih lama, kalau PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hampir dua tahun, maka untuk teruskan perniagaan balik, mereka perlukan dua tahun juga.

“Jadi saya lihat (Bajet 2023) kelebihan ada kepada usahawan untuk beri keyakinan dan pulihkan semula semangat terus berada dalam bidang usahawan yang mereka ceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2023 peringkat negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kerajaan Perak sendiri memperuntukkan bajet yang khusus bagi membantu usahawan.

Katanya, sebahagian daripada peruntukan itu dibelanjakan dan sebahagian lagi akan diagihkan menerusi geran perniagaan bulan ini.

“Bermula awal tahun juga kita sudah minta agensi dan jabatan untuk beri pinjaman mudah agar usahawan ini ada pusingan modal.

“Mekanisme sama saya lihat cuba diterapkan dalam bajet semalam yang dapat sekurang-kurangnya meringankan beban rakyat dan usahawan,” katanya.

Hari Sukan Negara 2023 peringkat negeri Perak disambut meriah dengan kehadiran 25,000 orang menerusi 16 acara yang dijalankan secara serentak di setiap daerah.

Zainol Fadzi berkata, sukan telah menjadi satu industri yang mampu memberikan peluang pekerjaan dan kerjaya yang diimpikan belia dan anak muda.

“Lihat kejayaan Muhammad Azeem Fahmi, pelari pecut negara kelahiran Perak yang berjaya mengukir sejarah menerusi rekod-rekod baharu.

“Kejayaan ini amat membanggakan kita sebagai rakyat Perak dan sudah pasti menjadi aspirasi kepada anak-anak muda yang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here