Home bajet2022 Bajet 2023: Perlu rancangan masa panjang atasi pengangguran

Bajet 2023: Perlu rancangan masa panjang atasi pengangguran

0
Bajet 2023: Perlu rancangan masa panjang atasi pengangguran
Kerajaan perlu mengetengahkan rancangan jangka masa panjang dalam Bajet 2023 untuk mengatasi masalah pengangguran dan guna tenaga tidak penuh.Foto: 123RF

SEREMBAN – Kerajaan perlu mengetengahkan rancangan jangka masa panjang dalam Bajet 2023 untuk mengatasi masalah pengangguran dan guna tenaga tidak penuh.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan, Mohamad Afif Anuar berkata, statistik dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran belia bagi warganegara yang berumur antara 15 sehingga 24 tahun berada pada paras tertinggi sehingga Mei 2022, iaitu sebanyak 12.5 peratus.

“Guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pula direkodkan sebanyak 36.9 peratus pada suku pertama tahun ini yang dalam erti kata lain, hampir empat daripada 10 rakyat Malaysia yang bekerja bawah paras kelayakan dan kemahirannya.

“Ini menyebabkan keupayaan penjanaan produktivitinya kurang digunakan dan imbuhan serta gaji yang diterima bawah tahap memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Khamis.

Menurutnya, keupayaan pekerjaan ‘bermaruah’ yang ditawarkan kini cukup rendah dan telah mengakibatkan peningkatan trend belia menyertai perkhidmatan penghantaran makanan dan e-hailing.

Selain itu katanya, kekurangan penyediaan peluang pekerjaan ‘bermaruah’ juga telah menyebabkan fenomena ‘brain drain’ terutamanya dalam kalangan belia.

“Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, lebih daripada 1.83 juta orang yang dilahirkan di Malaysia tinggal di luar negara pada 2015, kebanyakannya di Singapura.

“Satu pertiga daripada penghijrah ini adalah berkemahiran tinggi dan menyumbang 20 peratus daripada rakyat Malaysia yang mempunyai ijazah dan melanjutkan pengajian di universiti,” katanya.

Tambah beliau, kajian juga menunjukkan keupayaan produktiviti buruh setiap pekerja di negara ini adalah jauh lebih rendah berbanding keupayaan produktiviti buruh Singapura iaitu lebih daripada dua kali ganda perbandingannya.

Kesannya kata Mohamad Afif, mengakibatkan produktiviti negara rendah yang merupakan antara punca utama pengangguran dan guna tenaga tidak penuh.

“Masalah keupayaan mendapatkan buruh asing murah yang terlampau mudah juga telah mengurangkan keupayaan untuk menggalakkan perniagaan-perniagaan yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sekali gus meningkatkan produktiviti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here