SHAH ALAM – Bajet 2023 perlu ditambah baik dan diperhalusi bagi memastikan ia dapat memberi manfaat lebih besar khususnya kepada anak muda, kata Ketua Penerangan Pemuda Gerakan Tanah Air (GTA), Nik Fathurahman Nik Rasli
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, pihaknya melihat tawaran dikemukakan dalam Bajet 2023 adalah bersifat populis dan lebih fokus kepada pemberian kecil berbentuk ‘wang percuma’.
“Pemberian seperti ini, walaupun memberi kelegaan, hanya bersifat sementara. Jelas kerajaan BN/ Perikatan Nasional (PN) tidak bersedia untuk berdepan isu-isu sukar dan lebih cenderung memilih jalan mudah yang membantu mereka menjelang pilihan raya umum (PRU).
“Perkara ini amat dikesali dan anak muda khususnya, tidak akan begitu mudah termakan budi atau dikaburi.
“Mereka akan memilih kerajaan yang bertanggungjawab serta berani menghadapi isu pokok dan dasar yang sebenarnya lebih memberi manfaat jangka panjang kepada kemakmuran anak muda dan keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nik Fathurahman berkata, Pemuda GTA bersetuju dengan pandangan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad agar Bajet 2023 itu tidak ditolak, namun berharap agar ia diperhalusi terutamanya untuk kumpulan anak muda sama ada di bandar atau luar bandar.
“Isu pelajar IPTS (institut pengajian tinggi swasta) juga gagal diatasi. Mereka seolah dipinggirkan dan tidak begitu ditekankan sedangkan dalam kalangan mereka juga begitu ramai dari keluarga kurang berkemampuan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menambah, kejayaan pelaksanaan bajet tersebut akhirnya bergantung terhadap keupayaan kerajaan untuk memastikan tanggungjawab fiskal dan pentadbiran lebih baik dalam pengurusan peruntukan dibelanjakan.
Sehubungan itu, beliau berkata, anak muda disaran agar memilih pemimpin dalam kalangan part yang benar-benar bersih dan berprinsip serta bukan sahaja bebas rasuah tetapi juga cekap dalam mentadbir.
“Dengan memilih parti yang baik, cadangan-cadangan dari belanjawan ini dapat ditambahbaik dan dilaksanakan dengan telus tanpa sebarang agenda politik disebaliknya.
“Ia juga menjamin bantuan sampai kepada golongan sasar tanpa isu kroni atau birokrasi politik yang menyulitkan,” ujarnya.
Dr Mahathir pada Sabtu berkata, GTA akan melaksanakan semua yang terkandung dalam Bajet 2023 jika gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).