Home bajet2022 Bajet 2023: KPM cadang naik kadar bantuan makanan prasekolah

Bajet 2023: KPM cadang naik kadar bantuan makanan prasekolah

0
Bajet 2023: KPM cadang naik kadar bantuan makanan prasekolah

Fadhlina ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 kepada kakitangan Kementerian Pendidikan pada Khamis. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencadangkan kadar bantuan makanan prasekolah (BMP) di Semenanjung dinaikkan kepada RM2.50 daripada RM2 sekarang, manakala RM2.75 di Sabah dan Sarawak berbanding RM2.25 sekarang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah mengemukakan cadangan kenaikan BMP dalam Bajet 2023 kepada Kementerian Kewangan kerana kadar sekarang menunjukkan murid tidak mendapat nutrisi mencukupi untuk tumbesaran mereka.

“Kita di KPM berjuang memohon peruntukan lebih untuk memastikan nutrisi dan murid yang pergi ke prasekolah mendapat manfaat dengan bantuan makanan yang lebih sihat,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga kementerian di sini pada Khamis.

Menurut Fadhlina, pelbagai inisiatif memperkasakan pendidikan prasekolah antaranya menambah bilangan kelas pada setiap tahun, meningkatkan enrolmen murid, kualiti guru dan pembantu pengurusan murid (PPM) sedang diperhalusi serta diteliti KPM.

Katanya, KPM mencadangkan perluasan sebanyak 118 kelas prasekolah untuk beroperasi di seluruh negara tahun ini termasuk di kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman.

Menyifatkan tambahan 118 kelas prasekolah itu sebagai luar biasa, beliau berkata, sesi persekolahan dijangka bermula Mac ini dan kelas-kelas tersebut telah tersedia dari segi infrastruktur, guru dan murid.

Mengenai konsep Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fadhlina berkata, konsep itu terangkum dalam aspirasi dan teras KPM untuk memperkasa pendidikan negara, contohnya dalam isu kemampanan bilik darjah, kurikulum serta kesejahteraan guru dan murid.

Antara teras utama KPM menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap serta telus; penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti; memberi perhatian kepada isu kemiskinan multidimenasi murid daripada keluarga B40 termasuk dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.

Teras KPM juga memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan; memberi fokus kepada kebajikan guru; memberi tumpuan kepada usaha mengubah suai dan menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif; serta meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here