KUALA LUMPUR – Suatu anjakan baharu perlu dibuat dalam Bajet 2023 jika mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Sukan’ menjelang 2025, menurut seorang penganalisis sukan tempatan.
Datuk Dr Pekan Ramli berkata, impian itu sukar dicapai jika Bajet 2023 hanya meneruskan trend terdahulu antaranya memberi tumpuan kepada sukan berprestasi tinggi, selain peruntukan bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan.
Katanya, bagi merealisasikan impian tersebut, ia melibatkan dana yang lebih besar melangkaui apa yang telah diberikan dengan mengambil kira aspek penganjuran acara sukan di peringkat antarabangsa sebagai perkara penting.
“Peruntukan yang besar sebenarnya perlu diberi kerajaan supaya kita dapat menarik pelbagai acara sukan peringkat antarabangsa untuk dianjurkan di negara kita. Banyak negara yang sanggup membawa pelbagai kejohanan di negara masing-masing dan berulang kali jadi tuan rumah, sebagai contoh China.
“Jadi ini (tujuan anjur kejohanan antarabangsa) bukan sahaja sebab ingin meningkatkan kualiti sukan negara tetapi sebenarnya nak bawa impak ekonomi selain memberi minat yang berterusan kepada setiap rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, perkara itu secara tidak langsung akan mempengaruhi kecenderungan rakyat untuk terlibat dalam apa sahaja aktiviti sukan yang akhirnya akan memberi impak terhadap ekonomi sekali gus mengangkat sukan sebagai salah satu elemen terpenting dalam kehidupan.
Sabtu lepas, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, dipetik sebagai berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Sukan’ menjelang 2025 dengan nilai skor Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) melebihi 75 peratus.
Katanya, pencapaian IBSM pada 2021 ialah 52 peratus secara keseluruhan, menunjukkan keterlibatan rakyat dalam aktiviti sukan masih sederhana.
Justeru, Pekan, yang juga Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), beranggapan Bajet 2023 adalah permulaan sempurna untuk memastikan KBS mencapai hasratnya itu.
“Kita kena bermula dari sekarang, dari bajet tahun depan, kita nak tengok apa sebenarnya yang berbeza atau kita akan lihat perkara dan jumlah sama yang akan diluluskan berkaitan sukan. Sepatutnya pasca Covid-19 kita suntik lebih banyak peruntukan untuk sukan,” katanya.
Bajet 2022 menyaksikan keseluruhan industri sukan negara menerima RM239 juta dengan RM10 juta diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) khusus bagi memperkasakan sukan para melalui program latihan dan melaksanakan Liga Sukan Para.
Peruntukan RM159 juta pula bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara, RM50 juta bagi pembudayaan gaya hidup aktif, ‘Fit Forever’ serta Hari Sukan Negara (HSN), dan RM20 juta bagi pembangunan e-sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.
Dalam pada itu, Pekan turut berharap sukan selain yang berada dalam radar untuk menjelmakan pingat emas Olimpik pertama negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 tidak terus dianaktirikan dalam Bajet 2023.
Katanya, fokus juga perlu diberikan kepada sukan yang berpotensi menghadiahkan emas sulung negara di pentas temasya berprestij itu pada edisi berikutnya dan tidak hanya menumpukan kepada edisi di Paris.
“Kita tidak boleh fokus dan berbelanja besar untuk apa yang kita ada dan lihat sekarang saja, sepatutnya kita boleh juga beri peruntukan yang besar kepada sukan-sukan yang ada potensi dan boleh cipta keputusan di luar jangkaan. Kalau tidak pada 2024, mungkin 2028 kita raih emas Olimpik,” katanya. – BERNAMA