SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berpandangan Bajet 2023 bagi Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelum ini.
Sambil menyifatkan Bajet 2023 sebagai ‘keseimbangan yang baik, pro-rakyat dan asas pemulihan’ Ongkili berkata, peningkatan peruntukan kepada negeri-negeri di Malaysia Timur adalah seperti yang dibentangkan melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).
Tambahnya, walaupun berdepan dengan cabaran hasil perolehan, peruntukan tidak tersasar daripada memenuhi keperluan rakyat.
“Bagi Sabah dan Sarawak, keperluan dan fokus pembangunan yang diketengahkan oleh MKMA63 telah dijalankan dan disediakan termasuk penyediaan peruntukan pembangunan bagi golongan B40.
“Yang lebih penting adalah dana bagi infrastruktur asas telah dikekalkan dan dalam sesetengah isu meningkat terutamanya bagi jalan raya luar bandar, air, elektrik dan infrastruktur digital.
“MKMA63 menekankan keperluan peningkatan peruntukan bagi fasiliti perubatan dan pendidikan terutama dalam menangani sekolah dan klinik desa usang yang diketengahkan di dalam bajet,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, Ongkili berkata, fokus oleh kerajaan pada pemulihan ekonomi juga adalah sangat tepat.
“Bantuan tambahan untuk menghidupkan semula sektor pembuatan dan pelancongan adalah bertepatan dengan waktu dan sememangnya sangat diperlukan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, peningkatan suara rakyat Sabah dan Sarawak yang memerlukan perhatian dan tumpuan kewangan telah semakin didengari, dihormati dan diambil tindakan.
“Bagaimanapun, ruang untuk penambahbaikan adalah masih besar. Walaupun ada peningkatan peruntukan, ia masih belum sampai ke tahap yang memuaskan, berdasarkan permintaan dari Sabah dan Sarawak,” tegasnya.