KUALA LUMPUR – Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat, dilihat menitikberatkan agenda sosial, pendidikan dan keselamatan rakyat dalam usaha pemulihan negara melibatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia pasca pandemik.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2022 iaitu sebanyak RM52.6 bilion dan akan memanfaatkannya demi memastikan ekosistem pendidikan negara terus diperkasa.
“Terima kasih YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Menteri Kewangan (Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan kerajaan secara keseluruhannya di atas keprihatinan kepada pembangunan generasi pewaris negara. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Jumaat.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kementerian berkenaan diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan berimbang untuk dimanfaatkan Keluarga Malaysia.
“Pasukan KPKT akan meneruskan komitmen untuk menyampai kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Reezal Merican berkata, bajet tersebut juga mengutamakan keselamatan rakyat dalam usaha pemulihan negara di samping memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat pasca pandemik.
“Ia telah dirangka melalui proses telus dan menyeluruh sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diberi peruntukan mengurus dan pembangunan seimbang bagi merealisasikan aspirasi perumahan berdaya huni, perkhidmatan perbandaran mampan dan perkhidmatan kebombaan yang efektif.
“Akhirnya ia melimpah ke seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.
Reezal Merican berkata, cadangan-cadangan KPKT dalam memperkukuhkan agenda perumahan untuk rakyat diberi pertimbangan oleh kerajaan; antaranya dengan meneruskan projek-projek perumahan kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.
“Ia membolehkan pembangunan rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggarakan perumahan rakyat,” katanya.
Tegas beliau, hasrat kementerian untuk melebarkan aspirasi Malaysia Berdaya Huni kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) juga diberi pertimbangan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 PPR sedia ada.
“Pasukan KPKT akan meneruskan komitmen untuk menyampaikan kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
“Kepada pasukan KPKT saya, ini masanya untuk kita terus bekerja. Ini masanya untuk kita terus ‘deliver’. Bajet 2022 kita jadikan realiti untuk semua,” ujarnya.
Bajet 2022 dibentangkan Tengku Zafrul yang menekankan tiga fokus utama iaitu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan. – Bernama