SHAH ALAM – Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ adalah tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat secara keseluruhan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak mendapat manfaat daripada bajet tersebut termasuk penduduk desa, pekebun kecil, petani, mahasiswa, anak muda, peniaga, ibu yang mencorakkan keluarga, orang kurang upaya (OKU), penjawat awam hatta pendidikan anak-anak kecil.
Menurutnya, penekanan besar turut diberikan untuk manfaat dan pembangunan rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam menjamin masa depan anak-anak kita dan masa depan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Jumaat.
Pada Jumaat, Bajet 2022 yang mengangkat tema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mendokong tiga paksi utama.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tiga paksi itu ialah memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, negara juga bakal menerima liputan 5G dengan kadar capaian internet yang lebih meluas sekaligus mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat dalam mendepani era digital.
Katanya, kesihatan rakyat turut terus dipertingkatkan termasuklah menangani isu kesihatan mental dan kebajikan barisan hadapan kesihatan lebih terbela.
“Keselamatan terus dipertingkatkan agar ahli Keluarga Malaysia dapat tidur lena dan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Terima kasih kepada Keluarga Malaysia yang sememangnya dekat di hati saya atas segala lontaran idea dan pandangan dalam menyempurnakan Bajet 2022 ini.
“Insya-ALLAH, atas izin ALLAH SWT yang Maha Esa, kita akan dapat merealisasikan hasrat membangun semula negara kita dengan kebahagiaan yang lebih tersulam dengan semangat Keluarga Malaysia,” katanya.