Home bajet2022 Bajet 2022 khusus untuk jaminan bekalan makanan negara: Nafas

Bajet 2022 khusus untuk jaminan bekalan makanan negara: Nafas

0
Bajet 2022 khusus untuk jaminan bekalan makanan negara: Nafas

SHAH ALAM – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyifatkan Bajet 2022 sebagai bajet prihatin yang khusus dalam menjamin bekalan makanan negara ketika Malaysia sedang menuju ke fasa endemik Covid-19.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, Bajet 2022 dilihat bersifat komprehensif, menyeluruh dan turut mengambil kira keperluan warga peladang, penternak dan nelayan seluruh negara.

“Nafas gembira dengan subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi iaitu RM1.5 bilion serta RM40 juta bagi subsidi baja padi huma dan bukit.

“Ia pastinya akan memberi manfaat yang menyeluruh kepada warga peladang lebih-lebih lagi kepada hampir sejuta ahli peladang (di bawah Nafas) di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zamri turut melahirkan penghargaan terhadap pemberian perlindungan takaful kepada semua ahli peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Katanya, perlindungan takaful itu tentunya akan memberi faedah langsung kepada ahli peladang dan seterusnya memastikan kebajikan golongan petani, penternak dan nelayan terus terpelihara.

Pada masa sama, Zamri berkata, peruntukan RM4.8 bilion yang diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam Bajet 2022 itu menunjukkan kerajaan komited untuk mengekalkan momentum pengeluaran makanan di Malaysia khususnya tanaman padi yang merupakan komoditi tanaman makanan utama negara.

Ujar beliau, Nafas selaku institusi yang menerajui pergerakan juga komited dalam memperkasakan fungsi untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti dan dinamik serta terus terlibat secara aktif dalam keseluruhan rantaian nilai industri pertanian.

“Ia termasuk usaha untuk meneroka aktiviti nilai tambah dan hiliran khususnya dengan teknologi moden serta digital agar produktiviti dimaksimumkan dan pendapatan ahli dipertingkatkan.

“Nafas juga akan terus bersama-sama MAFI untuk memastikan insentif serta peruntukan di bawah Bajet 2022 yang diumumkan semalam dilaksanakan dengan cepat supaya dapat memberi manfaat maksimum kepada warga tani,” jelas beliau.

Daripada keseluruhan peruntukan disediakan oleh kerajaan kepada MAFI, RM3.8 bilion daripadanya adalah bagi tujuan tujuan perbelanjaan mengurus diikuti perbelanjaan pembangunan (RM1.54 bilion) dan subsidi serta insentif keseluruhan (RM1.7 bilion).

Di peringkat nasional, Nafas dianggotai oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan 279 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here