KLUANG – Kementerian Pertahanan akan memastikan aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi keutamaan selaras dengan peruntukan dalam Bajet 2022.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peruntukan yang bakal diterima tahun depan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya termasuk menyediakan kediaman lebih selesa kepada anggota, veteran ATM selain menambah baik infrastruktur di sekolah di dalam kem ATM.
“Itu keutamaan kita sebab dalam keadaan anggota kita merupakan petugas barisan hadapan. Tadi saya sempat berjumpa dengan kor perubatan, saya tanya apa keperluan mereka dan sebenarnya dari segi perkakas serta peralatan mereka rasa mencukupi, cuma kebajikan.
“Jadi, untuk pastikan moral mereka tinggi, itu mesti diberikan tumpuan dan saya telah nyatakan kepada mereka kalau ada kekangan atau keperluan mereka boleh hubungi Pejabat Menteri Pertahanan secara langsung,” katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni Kementerian Pertahanan di Kampung Sri Tambak, di sini pada Sabtu.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa pembentangan Bajet 2022 semalam mengumumkan Kementerian Pertahanan diperuntuk dana sebanyak RM16 bilion.
AKAN MENYUSUL