Home bajet2022 Bajet 2022 beri limpahan manfaat kepada rakyat Kelantan: MB

Bajet 2022 beri limpahan manfaat kepada rakyat Kelantan: MB

0
Bajet 2022 beri limpahan manfaat kepada rakyat Kelantan: MB

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan berharap beberapa projek pembangunan infrastruktur yang akan dilaksanakan di negeri itu melibatkan peruntukan RM3.53 bilion menerusi pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat mampu memberi limpahan manfaat kepada rakyat negeri itu dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyambut baik perkara itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas keprihatinan terhadap pelaksanaan pembangunan infrastruktur di negeri itu.

Menurutnya, peruntukan berkenaan membabitkan beberapa projek pembinaan termasuk Central Spine Road di jajaran Paloh II ke Gua Musang.

“Bukan itu sahaja, ia turut merangkumi pembinaan pakej lebuh raya dari Kok Lanas ke Bukit Tiu dan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK),” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Sabtu.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyambut baik peruntukan berjumlah RM159 juta untuk kemudahan sukan termasuk bagi memulakan pembinaan sebuah stadium di Bukit Merbau, Pasir Putih.

Katanya, pembinaan kemudahan stadium itu merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik sebagai persediaan Kelantan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

“Tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) atas pembentangan Bajet 2022 yang akan menyediakan sejumlah RM332.1 bilion.

“Bajet 2022 telah memberi fokus yang inklusif dan menyeluruh melibatkan setiap segmen rakyat sebagai Keluarga Malaysia demi kelangsungan hidup dan pemulihan ekonomi kesan pandemik Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here