KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif membantu barisan hadapan yang bertugas menangani kes koronavirus (Covid-19) di Penjara Alor Setar dengan menghantar sut peralatan perlindungan diri (PPE).
Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, selain sut PPE yang dijahit sendiri oleh pihak universiti dengan kerjasama Penjara Pengkalan Chepa, pihaknya turut menghasilkan 2,000 botol cecair pembasmi kuman dan juga 500 pelindung muka.
Menurutnya, penyerahan kali ini bertepatan dengan keadaan semasa yang mana penularan mendadak di beberapa negeri termasuklah membabitkan Kluster Tembok di Kedah.
“Sumbangan sebegini telah dimulakan sejak awal Covid-19 lagi dan kita bercadang akan terus menyediakan PPE, pelindung muka dan cecair pembasmi kuman dari masa ke masa untuk membantu pihak yang memerlukan.
“Ini selaras dengan hasrat UMK yang bukan sahaja melahirkan graduan tetapi turut menyumbang kepada masyarakat. Inilah antara sumbangan kita kepada komuniti apatah lagi negara berdepan dengan Covid-19,” katanya kepada pemberita di Penjara Pengkalan Chepa hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan pelitup muka, sut PPE dan cecair pembasmi kuman kepada Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob untuk diserahkan kepada Penjara Alor Setar.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Mohamad dan Ahli Lembaga Hakim Pelawat Negeri Kelantan.
Barangan yang disumbangkan itu akan dihantar oleh Penjara Pengkalan Chepa kepada Penjara Alor Setar pada esok pagi.
Penghasilan barang keperluan barisan hadapan tersebut merupakan idea Noor Azizi sendiri menerusi program UMK Cares Covid-19 Kit ‘UMK for Society’ bagi membantu petugas hadapan menangani pandemik berkenaan.
Noor Azizi berkata, selain pelindung muka, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan juga turut mencipta sut PPE dengan menggunakan fabrik yang mempunyai kadar resapan air rendah serta lebih cepat dihasilkan dan menjimatkan kain.
Selain itu, katanya, cecair pembasmi kuman pula dibangunkan oleh saintis dari Fakulti Sains Bumi dan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK menggunakan formulasi disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Sementara itu, Mat yang menyambut baik usahasama dilakukan UMK untuk membantu barisan hadapan menangani Covid-19 berkata, selain menghantar sumbangan UMK, pihak Penjara Kelantan turut mengambil inisiatif menyumbangkan keperluan sama kepada Penjara Alor Setar.
“PPE yang dijahit oleh banduan terpilih di sini akan dihantar ke sana esok dan ada juga cecair pembasmi kuman turut diserahkan nanti,” katanya.