SHAH ALAM – Usaha membasmi rasuah bukanlah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya merupakan amanah seluruh rakyat.
Pengerusi Gerakan Belia 4B Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, nilai integriti dan kejujuran perlu dipupuk sejak kecil, dibudayakan dalam kehidupan seharian serta diwariskan kepada generasi akan datang.
“Hanya dengan cara ini anak-anak kita dapat membesar dalam persekitaran yang bersih dan bebas daripada gejala korupsi.
“Gerakan Belia 4B turut menyeru semua rakyat Malaysia, tanpa mengira umur, kaum atau fahaman politik untuk bersatu padu menentang rasuah. Masa depan negara tidak boleh dibiarkan dirampas oleh pihak yang rakus dan tidak bermoral,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian susulan penahanan dua pemilik syarikat di Sarawak oleh SPRM berkaitan permohonan mendapatkan lot tanah daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai meminta dan menerima suapan melebihi RM800,000 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan tanah komersial di daerah Kuching, sedangkan permohonan tersebut tidak pernah wujud.
Mohamad Nazri menegaskan bahawa rasuah bukan sekadar satu bentuk jenayah, tetapi merupakan racun yang membunuh kepercayaan rakyat dan memusnahkan harapan generasi muda.
“Setiap ringgit yang diperoleh secara haram adalah hak orang lain yang dirampas.
“Setiap janji yang dilanggar demi kepentingan diri adalah pengkhianatan terhadap negara yang kita cintai,” katanya.