SHAH ALAM – Ujian Psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) dilaksanakan untuk menilai tahap integriti yang boleh diterima umum bagi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Felo Penasihat Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Rosmadi Ghazali berkata, ujian tersebut merupakan amalan digunakan di negara yang berada di kedudukan 20 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Tambah Rosmadi, ia turut diguna pakai oleh syarikat-syarikat besar seperti syarikat milik kerajaan (GLC), Petronas dan Nestle.
“Jadi, sama ada negara atau syarikat, tujuan utama psikometrik ini adalah untuk menilai. Cuma, apa yang dinilai itu bergantung kepada keperluan dan kehendak kepada penilaian tersebut.
“Maka, dalam konteks kita sekarang ini ialah berkenaan PRN Johor yang dinilai adalah calon yang akan bertanding,” katanya dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk Bangsa Johor, Pilihlah Calon Berintegriti, pada Rabu.
Program yang dimoderatorkan oleh Ismail Adnan turut menampilkan Pengerusi Bersih, Thomas Fann dan penganalisis politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Rosmadi berkata, ujian RBTag itu bukan untuk mencari salah siapa tetapi lebih kepada melihat kecenderungan seseorang pemimpin
“Maka kita boleh bezakan terutama mereka yang masih lagi memegang kepada isu integriti terutama dalam PRN Johor ini.
“Dalam PRN Johor ini kita akan dapat satu kumpulan baharu anak muda dan kita mengharapkan mereka menjadikan satu imej politik baharu negara dizahirkan menerusi RBTag ini,” ujarnya.
Tambah beliau, dapatan daripada ujian tersebut tidak akan terhenti sekadar melaporkan keputusan tetapi ia lebih kepada perancangan seterusnya.
“Kita galakkan semua YB yang bakal bertanding datang duduki ujian ini. Kita akan bergerak ke Johor nanti dan buka makmal di sana supaya proses itu dipantau sepenuhnya untuk melahirkan integriti yang tinggi.
“Keputusan daripada ujian tersebut mereka boleh ambil dan sampaikan kepada pengundi-pengundi.
“Seperti di Melaka ada YB gunakan keputusan yang dia dapat dan tunjuk melalui media sosial serta berjaya menarik keyakinan pengundi,” katanya.
Kata Rosmadi lagi, RBTag adalah satu alat yang sepatutnya digunakan untuk menzahirkan dalaman seseorang pemerintah yang tidak boleh dinilai hanya sekadar percakapan.
“Tiga faktor utama di sini yang utamanya jangan lupa bahawa pemerintah perlu kuat integriti. Anda sebagai pemimpin ini amanah Jadi, jalankan dengan baik.
“Anda memohon diundi oleh pengundi-pengundi anda maka mereka mahu lihat pemimpin ini mempunyai ciri integriti yang telah ditetapkan. Gunakan RBTag ini sebagai kekuatan untuk membantu pemimpin berkempen,” ujarnya.