Home Rasuah Busters Tun Hanif sokong ‘pencen seringgit’ dilaksanakan semula

Tun Hanif sokong ‘pencen seringgit’ dilaksanakan semula

0
Tun Hanif sokong ‘pencen seringgit’ dilaksanakan semula

SHAH ALAM – Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar bersetuju dengan cadangan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay supaya tindakan ditamatkan perkhidmatan atau ‘pencen seringgit’ terhadap pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dengan rasuah dilaksanakan semula.

Beliau berkata, pelaksanaan undang-undang dahulu lebih ketat berbanding sekarang di mana pegawai yang bersalah akan berdepan dengan tindakan serius termasuk ditamatkan perkhidmatan, didakwa di mahkamah dan dihantar ke penjara.

Menurutnya, pada zaman beliau bertugas, mana-mana pegawai perlu mengisytihar atau memohon kebenaran terlebih dahulu sekiranya mereka ingin membeli sesuatu barang.

“Macam anggota hendak beli kenderaan, (mereka) perlu minta kebenaran. Kena tunjuk mana datang duit dia, kena tunjuk mana datang duit selepas beli kenderaan berkenaan.

“Nak bayar duit insurans, duit nak menyara anak semua itu mesti dikaji dengan teliti. Ada kemampuan, baru dibenarkan. Tiada kebenaran, tidak dibenarkan.

“Nak beli apa-apa mesti diisytihar,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Beri mereka pencen seringgit’

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketua atau pegawai atasan perlu mengambil tahu setiap perkara yang melibatkan orang bawahan mereka bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan kegiatan rasuah.

“Dulu, itu memang urusan pemimpin untuk mengambil tahu perangai orang dia.

“Jadi bila kita mengambil orang masuk pejabat kerajaan ini, kerja dengan kerajaan, dia ditapis dulu. Bukan diambil begitu sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, Ayob Khan mencadangkan agar tindakan ditamatkan perkhidmatan atau ‘pencen seringgit’ seperti yang pernah dilaksanakan ketika zaman Tun Mohammed Hanif untuk menghukum pegawai yang terlibat rasuah.

Beliau berkata, langkah itu antara bukti ketegasan ke atas mana-mana pegawai kanan atau anggota bawahan yang terlibat dengan kesalahan itu.

Ujarnya, tindakan ‘pencen seringgit’ atau dalam tafsiran undang-undang yang sebenar adalah Penamatan Perkhidmatan Demi Kepentingan Awam iaitu di bawah Peraturan 49 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 itu pernah dilaksanakan pada era 1980-an.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here