SHAH ALAM – Transformasi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan meletakkan agensi itu di bawah Parlimen perlu dilakukan segera bagi mengelakkan wujudnya potensi pendakwaan terpilih melalui pengaruh eksekutif.
Exco Transparency International Malaysia (TI-M), Alan Kirupakaran berkata, negara memerlukan agensi anti rasuah yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh kerajaan.
Menurutnya, kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan kredibiliti kerajaan, agensi berkaitan dan komitmen kolektif terhadap tadbir urus yang berintegriti.
“Langkah- langkah reformasi dan pembaharuan struktur SPRM tidak perlu ditangguh lagi. Sebagai permulaan, pelantikan SPRM harus dilakukan melalui satu jawatankuasa terpilih sekali gus memberi kebebasan untuk mengesyorkan nama kepada Parlimen, menteri serta Yang di-Pertuan Agong.
“Selain itu, wajar sekiranya SPRM diberi kemampuan untuk menguruskan keperluan pentadbiran dan tenaga kerja sendiri. Jadi, pegawai tertinggi boleh dilantik tanpa melalui kerajaan,” katanya ketika berucap pada program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.
Antara ahli panel lain yang hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin; bekas menteri kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Dr Tricia Yeoh; bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong; Pengasas dan Pengarah Eksekutif C4 Center, Cynthia Gabriel dan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Tambah Alan, pihaknya percaya cadangan tersebut mampu mengukuhkan kedudukan SPRM sebagai institusi bebas yang tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan dan hanya menegakkan kebenaran.
“Untuk pengetahuan semua, markah Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia menunjukkan penurunan yang sangat ketara sejak empat tahun lepas. Data itu dikeluarkan Transparency International (TI).
“Antara sebab markah Malaysia merosot adalah kurang kemajuan dalam inisiatif memerangi rasuah, kegagalan tadbir urus berulang kali setiap tahun dan kurang kemampuan politik dalam pembaharuan institusi,” jelasnya.