Home Rasuah Busters Tolak, benci rasuah sejak usia muda

Tolak, benci rasuah sejak usia muda

0
Tolak, benci rasuah sejak usia muda

TANJUNG KARANG – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru generasi muda dan golongan belia untuk menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah demi memastikan negara terhindar daripada menuju kehancuran.

Exco Bahagian Pendidikan ABIM Selangor, Mohd Fauzi Fadzil berkata, budaya benci amalan rasuah perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat sejak pada usia kecil, sekali gus dapat menyemai rasa jijik dan tidak mahu terlibat dengan rasuah pada usia remaja.

Dia yang juga Felow Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, didikan sempurna daripada ibu bapa dan guru bakal menjadi pendinding terbaik kepada generasi muda untuk memahami apa itu rasuah dan bahaya kepada negara serta masyarakat.

Katanya, generasi muda serta golongan belia harus mengamalkan budaya bebas rasuah kerana mereka adalah generasi pemimpin pada masa hadapan.

“Kita semua terutama belia perlu menolak amalan rasuah supaya ia tidak berleluasa dan menjadi barah di dalam masyarakat kerana perbuatan jijik ini boleh meruntuhkan negara.

“Untuk itu, ibu bapa perlu cakna dan berusaha bersungguh-sungguh memberi kesedaran kepada anak masing-masing.

“Ini kerana kita yang sudah dewasa ini juga kadang-kadang tidak sedar sudah terjebak dengan perbuatan rasuah,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Hari ketiga Konvoi #RasuahBusters menyaksikan aktiviti singgah santai di Pasar Awam Tanjong Karang, Medan Selera Tonggak 9 di Sungai Besar serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, sebelum mengedar bahan kempen Rasuah Busters Pasar Jerami Dalam Sawah di Sungai Besar.

Majlis bersama orang ramai itu dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin; Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Sabak Bernam, Rosmah Ihsan dan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Tavamalar R Krisnan.

Selain itu, Ketua Ikram Muda Malaysia, Mohd Hafiz Abd Hamid bersama team Ikram Sabak Bernam turut menjayakan Konvoi #RasuahBusters di Medan Selera Tonggak 9.

Pelbagai hadiah istimewa diberikan kepada orang ramai secara percuma termasuk bantal khas yang disediakan oleh stesen radio terkemuka negara, Era FM dan Sinar FM.

Program hari ketiga berakhir dengan Program Sinar Live di NZ Curry House di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here