Home Rasuah Busters Tingkatkan kefahaman jenayah rasuah

Tingkatkan kefahaman jenayah rasuah

Tingkatkan kefahaman jenayah rasuah

SHAH ALAM – Penerangan dan kefahaman mengenai keburukan jenayah rasuah harus dipertingkatkan terutama dalam kalangan belia.

Menurut Presiden SSEAYP International Malaysia (Kabesa), Che Muhammad Nordin Ismail, ramai dalam kalangan belia pada masa kini kurang penjelasan terhadap jenayah rasuah.

Katanya, jika perkara tersebut tidak dilakukan segera berkemungkinan belia akan mengikuti budaya rasuah yang dilakukan oleh orang terdahulu.

“Saya lihat sekarang ramai belia tidak boleh bezakan antara rasuah dan hadiah kerana tidak ada penjelasan terperinci.

“Bagi saya jika tidak faham mengenai rasuah, dikhuatiri budaya tersebut susah dibendung,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, jika perlu, satu modul mengenai gejala rasuah dan kesan jenayah tersebut perlu dimasukkan dalam sistem pembelajaran seperti yang dilakukan di negara Jepun terhadap golongan muda mereka.

“Saya percaya pendedahan awal seperti kesalahan rasuah dan kesan buruknya mampu menghapuskan budaya rasuah.

“Hal ini kerana ia dapat membantu menanam budaya kejujuran dan integriti dalam kalangan belia,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub telah melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan sebagai Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara.

Ia merupakan satu gerakan reformasi moral daripada rakyat untuk rakyat dan negara tanpa sebarang agenda politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here