PENDANG – Langkah Rasuah Busters memberikan pendedahan awal mengenai bahaya rasuah kepada pelajar sekolah merupakan satu langkah tepat.
Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Wan Mustaffa Wan Awang berkata, nilai antirasuah perlu diterapkan kepada golongan ini agar mampu menjadi peringatan kepada mereka sebaik melangkah ke alam pekerjaan kelak.
“Rasuah Busters merupakan satu kempen yang sangat bermakna dan perlu diteruskan sehingga ke seluruh negara agar diketahui dan disahut oleh seluruh masyarakat.
“Pada peringkat awal inilah, nilai-nilai bencikan rasuah perlu diterapkan ke dalam diri pelajar agar sebati dalam jiwa mereka. Apabila mereka keluar bekerja nanti akan menjadi pemimpin yang amanah dan tidak mengamalkan rasuah dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya semasa ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas Sesi libat urus bersama Rasuah Busters dan Kempen Antirasuah bersama 450 warga MRSM Pendang yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin di maktab tersebut, dekat sini.
Hadir sama, wakil-wakil dari agensi Majlis Amanah Rakyat (Mara) antaranya MRSM Merbok, MRSM Kubang Pasu, Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani dan Pejabat Mara Negeri Kedah.
Mengulas lanjut, Wan Mustaffa berkata, sebagai seorang pendidik, beliau mengharapkan program seumpama ini diteruskan dan diperluaskan ke institusi lain supaya kempen berkenaan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Jelasnya, Rasuah Busters perlu diadakan secara berterusan supaya nilai integriti dan bencikan rasuah juga dapat ditanam di dalam masyarakat.
“Di MRSM Pendang sendiri, kita juga sentiasa mengadakan program yang mampu meningkatkan integriti di dalam diri semua pelajar di maktab ini.
“Kita mahu setiap pelajar supaya mengamalkan integriti dalam kehidupan seharian seperti apabila berada di dalam kelas, mereka perlu menghasilkan kerja asli untuk dibentangkan dalam kelas setiap kali mendapat tugasan dari guru,” ujarnya.
Beliau menekankan sekolah menjadi tempat untuk membentuk jati diri sebenar setiap pelajar dan tumpuan Rasuah Busters kepada institusi pendidikan seperti ini sememangnya adalah satu langkah yang sangat tepat.