SHAH ALAM – Rasuah di peringkat akar umbi khususnya dalam kalangan pelajar sekolah perlu diberi perhatian serius kerana ia berpotensi menjadi benih kepada masalah lebih besar dalam masyarakat pada masa depan.
Setiausaha Majlis Dakwah Negara (MDN) Kedah, Ahmad Fuad Ashari berkata, pencegahan perlu bermula sejak kecil agar generasi muda tidak terjebak dengan amalan yang merosakkan nilai integriti.
“Walaupun kelihatan kecil, perbuatan seperti memberi hadiah untuk mendapatkan layanan istimewa atau kelebihan dalam pertandingan boleh membuka ruang kepada budaya rasuah.
“Anak-anak ini mungkin menganggap ia perkara biasa, tetapi jika tidak ditegur lama-kelamaan mereka akan melihat rasuah sebagai sesuatu yang normal dalam kehidupan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pendedahan awal mengenai apa itu rasuah dan mengapa ia salah sangat penting supaya murid dapat membezakan antara perbuatan ikhlas dengan salah laku.
Ahmad Fuad menjelaskan, pendidikan antirasuah bukan sahaja perlu diterapkan dalam mata pelajaran malah juga melalui aktiviti harian di sekolah.
“Contohnya dalam kokurikulum atau pertandingan sukan, murid harus diajar untuk menang dengan usaha sendiri, bukan melalui jalan pintas,” ujarnya.
Beliau menegaskan, ibu bapa, guru dan rakan sebaya memainkan peranan penting dalam membentuk budaya menolak rasuah sejak awal.
“Kalau ibu bapa menunjukkan contoh yang betul, guru pula konsisten menegur dan rakan sebaya tidak menggalakkan amalan songsang, anak-anak akan lebih kuat menolak rasuah,” katanya.
Tambahnya, jika murid sudah terbiasa dengan budaya memberi atau menerima sesuatu untuk mendapat kelebihan, kesannya akan berlanjutan hingga dewasa.
“Inilah yang membimbangkan kerana mereka bakal menjadi pemimpin, penjawat awam dan ahli masyarakat pada masa depan. Kalau dari sekolah sudah biasa dengan rasuah, maka masyarakat akan rosak,” jelas beliau.
Ahmad Fuad menekankan, semua pihak perlu berganding bahu membentuk kesedaran ini kerana membanteras rasuah bukan tugas satu pihak sahaja, sebaliknya tanggungjawab bersama.