
SHAH ALAM- Sudah tiba masanya budaya kebal ditamatkan di negara ini dan mengangkat tadbir urus yang berintegriti, adil, telus dan bersih pada setiap hari.
Naib Pengerusi Gabungan Rasuah Busters KL-Selangor, Mohammad Amar Masuri berkata, pada masa sama, keupayaan penguat kuasa perlu diperkasa dan dipertingkatkan.
Menurutnya, ia termasuk menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas seperti tempoh siasatan, kadar pendakwaan dan nilai aset disita.
“Pada pandangan saya, pendedahan tentang kartel diesel yang didakwa beroperasi hingga sedekad menunjukkan ketirisan yang menekan rakyat dari segi harga meningkat, peniaga kecil terhimpit dan keyakinan pada institusi merosot.
“Jadi, kita perlukan siasatan tegas dan adil tanpa sesiapa kebal dengan kemas kini yang telus supaya orang ramai tahu sejauh mana rantaian penyelewengan ini diputuskan.
“Tender dan kontrak perlu benar-benar dibuka, termasuk pendedahan pemilik manfaat sebenar agar monopoli jangka panjang tidak berulang,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, sebuah syarikat didakwa bertindak sebagai kartel pembekalan diesel di Sarawak dengan memonopoli tender kerajaan negeri sejak lebih 10 tahun melalui rasuah, penyeludupan dan penyelewengan, sekali gus menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit kepada kerajaan.
Susulan pendedahan itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin menegaskan siasatan akan dijalankan bagi membongkar dalang di sebalik kartel terbabit kerana penyelewengan dan rasuah itu menyebabkan ketirisan serta kerugian besar kepada hasil negara.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sebuah premis disyaki milik jaringan syarikat terbabit di Sibu mendapati ia dipercayai menjadi lokasi simpanan dan pemindahan diesel.
Premis tersebut lengkap berserta pagar di tepi sungai laluan kapal yang menempatkan lori serta tangki besar dengan akses jalan sempit melalui kawasan penempatan penduduk.
Tambah Mohammad Amar, rantaian diesel juga wajib dijejak secara digital dari hujung ke hujung.
“Mana-mana pihak yang menyeleweng patut dibatal lesen dan dilarang menyertai tender seterusnya.
“Orang dalam di titik sensitif pula perlu dikenakan perisytiharan aset dan ‘lifestyle audit’ yang serius, manakala pemberi maklumat dilindungi serta diberi insentif supaya berani tampil,” ujarnya.