Home Rasuah Busters Sindiket besi buruk rugikan negara, rasuah terus jadi barah – Helmi

Sindiket besi buruk rugikan negara, rasuah terus jadi barah – Helmi

0
Sindiket besi buruk rugikan negara, rasuah terus jadi barah – Helmi
SPRM gempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa. Foto Bernama (Gambar kecil: Helmi)

KUALA LUMPUR – Pembongkaran kegiatan sindiket penyeludupan besi buruk dan sisa buangan elektronik (e-waste) yang menyebabkan kerugian hasil cukai eksport dianggarkan mencecah lebih RM950 juta menunjukkan bahawa amalan rasuah masih membelenggu negara.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, sindiket berkenaan bukan sahaja merugikan ekonomi negara, malah memberi kesan besar terhadap industri besi dan keluli tempatan.

“Industri besi dan keluli dalam negara akan menghadapi masalah untuk berkembang kerana wujud persaingan daripada elemen-elemen gelap ini.

“Kegiatan penyeludupan besi buruk ke luar negara bukanlah isu baharu. Ia telah berlarutan sejak puluhan tahun, didalangi oleh sindiket kartel yang mempunyai rangkaian cukup luas dan kompleks hingga sukar dikesan pihak berkuasa kerana wujudnya elemen rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, lebih membimbangkan, isu tersebut turut melibatkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai agensi penguat kuasa.

“Rasuah yang berleluasa bukan sahaja mencemarkan sistem pentadbiran awam, malah memberi kesan buruk terhadap reputasi negara di mata pelabur luar.

“Walaupun Malaysia menjadi destinasi strategik dari segi geopolitik untuk pelaburan, amalan rasuah ini menjadi titik gelap yang menyebabkan pelabur hilang selera,” katanya lagi.

Dr Helmi turut mendakwa sistem kawalan yang lemah berlaku kerana pihak bertanggungjawab memandang ringan kesan rasuah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan Dasar Keluli Negara bagi memperkukuh sektor berkenaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap eksport bahan mentah ke luar negara.

“Kerajaan juga dicadangkan untuk menubuhkan sebuah agensi sehenti (one-stop agency) bagi memudahkan urusan pelabur dan penggiat industri tanpa perlu berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi yang membuka ruang kepada rasuah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here