Home Rasuah Busters SatuJari PRU15: Langkah tepat selamatkan generasi akan datang

SatuJari PRU15: Langkah tepat selamatkan generasi akan datang

0
SatuJari PRU15: Langkah tepat selamatkan generasi akan datang
(Kiri) Rajasegram dan Muhammad Dzul Aiman

SHAH ALAM – Kempen #SatuJari yang digerakkan Gerakan Rasuah Busters bersempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat sebagai satu langkah tepat untuk mengembalikan semula kestabilan politik di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (Johor), S Rajasegram berkata, konsistensi dan kesungguhan untuk menjayakan kempen tersebut dapat menyelamatkan generasi akan datang daripada dibelenggu krisis politik yang berterusan.

“Ini adalah satu tindakan yang baik kerana sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia selamatkan generasi muda yang datang.

“Kita tidak ingin menyalahkan sesiapa, tetapi ini masanya untuk kita ubah budaya sedia ada ke satu landskap budaya yang lebih bermakna dan memberi manfaat kepada semua rakyat.

“Kita tahu ramai generasi muda di luar sana sedang menghadapi masalah ekonomi seperti sukar mencari pekerjaan yang baik dan sebagainya.

“Diharapkan langkah ini akan turut mencorakkan perpaduan yang baik dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia untuk kita sama-sama memilih pemimpin yang bijak dan berwibawa demi masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran dan Sidang Media #Satu Jari Sempena PRU15 – Satu Jari Bebas Rasuah di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly turut menasihatkan agar pengundi terutamanya mahasiswa dan golongan belia untuk memilih pemimpin yang bersih, bebas rasuah, kompeten dan berintegriti untuk mentadbir negara.

Ujar beliau, rakyat terutamanya pengundi perlu sedar bahawa mereka sebenarnya mampu mengubah banyak perkara hanya melalui satu jari.

“Contohnya, mungkin dengan satu jari ini, kita dapat menerima pendidikan secara percuma, menurunkan harga barang dan juga kita dapat membawa negara ke arah yang lebih baik.

“Saya berharap agar kempen yang digerakkan ini akan disambut baik dan mampu memberi kesedaran secara menyeluruh supaya rakyat faham akan peranan mereka untuk turun mengundi dalam PRU15 nanti,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here