Home Rasuah Busters RM31 bilion aset rasuah dirampas SPRM, setara bina 58,431 rumah mesra rakyat

RM31 bilion aset rasuah dirampas SPRM, setara bina 58,431 rumah mesra rakyat

0
RM31 bilion aset rasuah dirampas SPRM, setara bina 58,431 rumah mesra rakyat
Paparan infografik nilai rampasan hasil aktiviti rasuah yang dianggarkan bersamaan nilai pembinaan kediaman, klinik, sekolah dan jalan raya. FOTO: SPRM

SHAH ALAM – Nilai RM31 bilion aset hasil jenayah rasuah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dianggarkan bersamaan dengan nilai pembangunan infrastruktur kediaman, sekolah, klinik dan jalan raya.

SPRM dalam kenyataan di laman Instagram rasminya berkata, rasuah bukan sahaja mencuri wang negara tetapi juga meragut peluang rakyat untuk hidup lebih selesa.

“RM31 bilion aset rasuah dirampas SPRM, bayangkan dengan nilai itu, negara boleh bina 58,431 Rumah Mesra Rakyat, 71 buah sekolah dan 158 buah klinik kesihatan.

“Selain itu, negara boleh menaik taraf jalan di kampung dan desa sejauh 4,024 kilometer,” katanya.

14 Ogos lalu, SPRM telah melucut hak harta hasil jenayah rasuah hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, jumlah itu termasuk operasi-operasi besar seperti Op Metal ke atas sindiket penyeludupan besi yang menyaksikan penyitaan aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta.

Menurut Azam, selain itu, SPRM, juga telah menyita hartanah bernilai RM620 juta dalam projek rangkaian fiber serta aset mewah berjumlah RM32 juta dari kediaman seorang individu bergelar Tan Sri yang melibatkan 217 unit jam tangan dan 27 unit tas tangan berjenama.

Dalam kes penyelewengan dana bina lebuh raya, SPRM telah menyita lebih RM36 juta termasuk wang tunai, kereta mewah dan akaun bank.

Penyitaan dan pelucuthakan aset ini merupakan langkah kritikal dalam memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada aktiviti haram mereka.

Ini sekali gus sebagai mesej jelas bahawa jenayah tidak akan pernah menguntungkan.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here