Home Rasuah Busters Rayu kerjasama bipartisan pinda akta

Rayu kerjasama bipartisan pinda akta

0
Rayu kerjasama bipartisan pinda akta

SHAH ALAM – Rasuah Busters dan enam rakan gabungan gerakan itu merayu kerjasama rentas parti atau bipartisan dibuat untuk mereformasi struktur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terutama membabitkan pindaan akta.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, reformasi struktur itu perlu diusahakan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, sebanyak empat akta iaitu Akta SPRM 2009, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009 perlu dibuat perubahan kerana terdapat kelemahan tertentu.

“Saya beri contoh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sudah dikuat kuasa lebih 12 tahun tapi keberkesanan akta ini tidak memuaskan.

“Kalau tidak salah saya sampai hari ini bilangan yang mendapat perlindungan hanya lebih kurang 500 ke 600 orang sahaja,” katanya pada Sidang Media Rasuah Busters: ‘Solusi Transformasi SPRM’ di Studio F, Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Khamis.

TI-M merupakan salah sebuah rakan gabungan Rasuah Busters selain Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Undi18 dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

Mengulas lanjut, Muhammad memberitahu, menerusi akta sedia ada itu juga pemberi maklumat berisiko tidak dilindungi jika melanggar undang-undang yang ditetapkan.

“Contohnya dalam Seksyen 6 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyatakan bahawa seseorang yang mendapati ada mendapat maklumat tentang berlaku salah laku atau rasuah dan sebagainya, dia boleh membuat laporan kepada penguat kuasa tertentu tapi dengan syarat dia tidak melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Jadi sekiranya maklumat yang diterima oleh pemberi maklumat melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972, secara automatik perlindungan tidak diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, Undang-Undang Kebebasan Maklumat dan Pengisytiharan Aset juga perlu dikuatkuasakan.

Dari segi Undang-Undang Kebebasan Maklumat, Muhammad menjelaskan, setakat ini di Malaysia hanya dua negeri yang menguat kuasakannya iaitu di Selangor dan Pulau Pinang.

“Mengenai pengisytiharan aset pula, itu satu kelemahan kita sebab kita tidak ada. Satu undang-undang amat diperlukan untuk pengisytiharan aset,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here