Home Rasuah Busters Rasuah RM180 juta: Jangan wariskan negara rosak

Rasuah RM180 juta: Jangan wariskan negara rosak

0
Rasuah RM180 juta: Jangan wariskan negara rosak
Keadaan wang tunai RM100 berjumlah hampir RM1 juta yang dibakar suspek selepas dikejutkan dengan serbuan SPRM di kediamannya di Petaling Jaya pada Khamis. (Gambar kecil: Dr Nor Halmey Hamdah)
SPRM menyita wang tunai berjumlah RM7.5 juta yang ditemui di sebuah rumah dalam serbuan sekitar Lembah Klang pada Khamis.

SHAH ALAM – Penahanan empat individu termasuk seorang pengurus kontrak dan isterinya dalam projek pembinaan pusat data bernilai RM180 juta menjadi petanda jelas bahawa integriti sistem perolehan negara semakin rapuh.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, kes berprofil tinggi itu menunjukkan unsur rasuah, komisen haram dan salah guna kuasa kini berlaku secara sistemik dan berskala besar dalam projek strategik negara.

“Jika kita benarkan rasuah hari ini, esok kita akan wariskan negara yang rosak kepada generasi akan datang,” tegasnya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau merujuk kepada rampasan wang tunai RM7.5 juta yang disyaki berkait dengan aktiviti rasuah dalam kes terbabit sebagai bukti nyata bahawa integriti dalam pengurusan kontrak kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berada di tahap membimbangkan.

Katanya, rasuah dalam projek berskala besar bukan sahaja menyebabkan pembaziran dana awam malah memberi kesan berganda terhadap kepercayaan pelabur asing terhadap ketelusan dan kestabilan negara.

**media[3210089]**

“Pelabur khususnya dalam sektor teknologi dan infrastruktur memerlukan jaminan ketelusan serta integriti sepanjang proses perolehan dan pelaksanaan projek. Jika rasuah berleluasa, pelabur akan lari,” katanya.

Beliau turut menggesa agar perhatian serius diberikan kepada kelemahan dalam sistem tender terbuka yang menjadi punca berlakunya pemanipulasian projek oleh kartel syarikat.

“Wujud syarikat-syarikat yang hanya berbeza nama tetapi dimiliki individu sama atau rangkaian keluarga. Ini membunuh persaingan sihat dan menutup ruang kepada syarikat yang benar-benar layak,” jelasnya.

Menurut beliau, kelemahan audit bebas selepas penganugerahan tender juga menjadi antara punca rasuah sukar dibanteras.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan reformasi menyeluruh termasuk sistem digitalisasi penuh proses tender, audit bebas tanpa campur tangan manusia dan penilaian latar belakang mendalam terhadap pemilik sebenar syarikat.

“Rasuah bukan sekadar jenayah. Ia ancaman terhadap kelangsungan ekonomi negara dan masa depan anak bangsa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa pihak berkuasa agar tidak hanya menghukum ‘kambing hitam’, sebaliknya mendedahkan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak berpengaruh yang menjadi pelindung kepada kegiatan rasuah.

“Kepada rakyat, jangan normalisasikan rasuah. Rasuah inilah punca sekolah tidak siap, hospital terbengkalai dan kos sara hidup makin membebankan. Suara kita penting,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here