Home Rasuah Busters Rasuah penjawat awam cerminan masalah Integriti serius

Rasuah penjawat awam cerminan masalah Integriti serius

0
Rasuah penjawat awam cerminan masalah Integriti serius
Kes rasuah dalam kalangan penjawat awam boleh mengugat kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan. Gambar kecil: Hamdan Daniel

SHAH ALAM – Isu rasuah yang sering berlaku dalam kalangan penjawat awam menggambarkan betapa seriusnya masalah integriti membabitkan institusi berkenaan.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, sebagai pegawai yang diberikan amanah untuk melunaskan tanggungjawab, tindakan menggadaikan integriti demi suapan amat mengecewakan.

Menurutnya, bahkan makanan asas seperti minyak masak yang sepatutnya dilindungi turut dijadikan bahan untuk mendapatkan ‘ duit tepi’.

“Bayangkan jika semua makanan asas mengandungi unsur rasuah, maka akan berlaku ketirisan ekonomi yang akhirnya menggugat kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia.

“Bukanlah nilai suapan yang kita persoalkan tetapi nilai moral yang akhirnya memberi padah bukan sahaja kepada individu terbabit malah kepada ekonomi negara,” tegasnya.

Sebelum ini, seorang Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Seremban pada Khamis atas pertuduhan meminta rasuah sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan kes berkaitan minyak masak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Sahzul Hisam Samsuri, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Darmafikri Abu Hassan selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melalui panggilan telefon dengan seorang lelaki berusia 53 tahun telah secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang berjumlah RM8,500 untuk dirinya sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan kes kesalahan membawa minyak masak terpakai tanpa lesen yang sah.

Kesalahan itu dilakukan pada 11 September 2022 di sekitar Seremban.

Tambah Hamdan Daniel, kes berkenaan turut memberi gambaran negatif dan mengugat kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.

Jelasnya, kes seperti itu memberi kesan buruk yang berpotensi mewujudkan syak wasangka rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Semoga ia tidak berulang demi menjamin kesejahteraan ekonomi negara.

“Marilah kita bersama-sama melawan rasuah demi mewujudkan Malaysia bebas rasuah,” ujarnya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here