SHAH ALAM – Isu rasuah dalam kalangan penjawat awam bukan lagi kes terpencil, sebaliknya petanda bahawa sistem pentadbiran negara perlu diperbaiki segera.
Naib Pengerusi Gabungan Rasuah Busters KL-Selangor, Mohammad Amar Masuri berkata, gejala rasuah yang berterusan menunjukkan kelemahan sistem negara yang tidak boleh dibiarkan terus berlaku.
Menurutnya, walaupun gaji rendah sering dijadikan alasan, punca sebenar adalah budaya kerja yang tidak sihat, kelemahan penguatkuasaan serta kurangnya ketelusan dalam sistem pentadbiran.
“Ramai penjawat awam bergaji sederhana masih berpegang pada integriti, jadi jelas masalah ini bukan semata-mata soal pendapatan.
“Apabila kuasa boleh dibeli, maka hancurlah kepercayaan rakyat terhadap institusi dan sistem yang sepatutnya adil.
“Oleh itu, langkah berani perlu diambil, antaranya membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepenuhnya daripada kuasa eksekutif dan melaporkan terus kepada Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, SPRM Perlis menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berkaitan kelulusan permit ubah suai rumah bernilai kira-kira RM70,000.
Kedua-dua individu tersebut terdiri daripada seorang penjawat awam dan seorang pesara daripada sebuah jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerana disyaki terlibat dalam meminta dan menerima rasuah sebagai balasan memudahkan proses kelulusan permit berkenaan.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 21 Julai 2025 terhadap kedua-dua suspek dibenarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Kangar pada Selasa.
Tambah Mohammad Amar, walaupun inisiatif seperti sistem e-Perolehan dan Pelan Antirasuah Nasional sudah wujud, namun pelaksanaannya masih lemah serta memerlukan penambahbaikan secara menyeluruh.
“Kita juga memerlukan ketelusan dalam urusan kerajaan, termasuk siaran data terbuka supaya rakyat boleh memantau secara terus.
“Selain itu, pendidikan antirasuah perlu dipraktikkan dengan pendekatan yang lebih realistik, contohnya melalui kajian kes dan penglibatan belia.
“Kami percaya bahawa usaha memerangi rasuah bukan hanya tugas kerajaan, tetapi merupakan gerakan rakyat yang berasaskan keberanian dan tindakan nyata,” ujarnya.