Home Rasuah Busters Rasuah libatkan pegawai keselamatan jejas kepercayaan rakyat

Rasuah libatkan pegawai keselamatan jejas kepercayaan rakyat

0
Rasuah libatkan pegawai keselamatan jejas kepercayaan rakyat
Insiden melibatkan pegawai keselamatan dikhuatiri akan membantutkan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran rasuah sifar menjelang 2050. (Gambar kecil: Hamdan Daniel)

SHAH ALAM– Penglibatan pegawai keselamatan dalam kes rasuah boleh mencetuskan kebimbangan dan kekecewaan dalam kalangan rakyat sekali gus menunjukkan petanda buruk terhadap usaha kerajaan dalam membanteras gejala tersebut di negara ini.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, ini kerana pegawai keselamatan sepatutnya menjadi tonggak dalam memastikan integriti dan keselamatan awam terus terjaga, bukan sebaliknya.

Menurut beliau, lebih menyedihkan jumlah suapan yang diterima bukanlah jutaan ringgit.

“Namun cukup untuk menggambarkan betapa mudahnya sesetengah individu tergelincir kerana gelap mata, tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Pegawai yang diberi amanah ini sepatutnya menjadi penggerak utama dalam menjayakan agenda kerajaan untuk membebaskan negara daripada budaya rasuah.

“Apabila mereka sendiri terlibat, ia memberikan imej negatif kepada keseluruhan penjawat awam,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, seorang pegawai dan dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,300 pada November 2023 lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Deris Jerman, 43; Mohd Fahmee Mohd Top, 37 dan Muhammad Taufiyqul Hakim Mohd Zaki, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Deris yang merupakan pegawai polis berpangkat Inspektor bersama Mohd Fahmee (Koperal) didakwa atas lima pertuduhan bersetuju menerima rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan untuk tidak menyita lori serta tidak menjalankan siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing dan di Maybank Cawangan Mersing antara jam 3 petang hingga 5.52 petang pada 30 November 2023.

Tambah Hamdan Daniel, insiden sebegini dikhuatiri akan membantutkan matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran rasuah sifar menjelang 2050.

“Oleh itu, usaha kerajaan dalam membina budaya integriti dan ketelusan perlu diteruskan secara menyeluruh dan konsisten.

“Langkah-langkah sedia ada termasuk Standard Operating Procedure (SOP), wajar ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan ketelusan dalam setiap lapisan perkhidmatan awam.

“Dalam masa sama, semua pihak, sama ada agensi kerajaan, swasta mahupun masyarakat umum harus memainkan peranan aktif dalam memerangi rasuah. Usaha kolektif ini penting demi menjamin masa depan negara yang bebas daripada gejala tidak sihat,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here