SHAH ALAM – Budaya rasuah di negara ini akan terus di tahap kritikal umpama ikan yang sedang membusuk sehingga berulat sekiranya tiada tindakan diambil.
Pensyarah Komunikasi dan Media (Kewartawanan) Universiti Selangor (Unisel), Ismail Hashim berkata, penguatkuasaan undang-undang sedia ada sudah cukup untuk tindakan lanjut namun dari segi amalan rasuah dalam kalangan masyarakat, ia masih membimbangkan.
“Masyarakat boleh memainkan peranan dengan mendedahkan isu rasuah tetapi pihak kerajaan perlu telus dan tegas dalam melaksanakan tugas.
“Jika perbuatan tersebut berterusan kita sukar mencari pemimpin yang bersih dan amanah.
“Kerajaan dan rakyat perlu bersatu padu dalam mengekang rasuah di negara ini supaya dapat melahirkan pemimpin dan generasi yang telus dan ikhlas serta amanah dalam menjalankan setiap tanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian.
Ismail berkata, masyarakat sudah mempunyai kesedaran terhadap budaya rasuah seawal peringkat sekolah rendah lagi.
“Persoalannya, bagaimana kita hendak menghentikan budaya tersebut kerana sudah sampai ke tahap kronik.
“Rasuah Busters adalah satu usaha untuk menggerakkan rakyat dengan memberi pendedahan dalam kalangan pemimpin kerajaan mahupun masyarakat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, elemen institusi agama sangat penting supaya ilmu agama ditanam dalam diri setiap individu untuk tidak terjebak dalam kancah rasuah.
“Jika perkara ini tidak dikekang kita akan berhadapan dengan barisan kepimpinan yang tidak amanah terhadap masyarakat kelak.
“Media telah mendedahkan pelbagai isu rasuah yang melibatkan pemimpin tertinggi dan usahawan yang tidak jujur.
“Mereka hanya memikirkan matlamat, kekayaan dan kedudukan mereka dengan menyalahgunakan kuasa,” katanya.