MELAKA – Bumi bersejarah Melaka menjadi tumpuan ramai apabila berlaku pertembungan pertama parti-parti politik negara untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) tatkala negara mula menuju era endemik Covid-19.
Kehangatan politik Melaka bermula apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Bermula episod ‘pemberontakan’ tersebut, perjalanan politik Melaka mula menjadi tumpuan rakyat.
Hari ini, calon-calon semua parti bertanding akan menyertai proses penamaan calon yang dikawal selia dengan ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia memandangkan negara masih berperang dengan Covid-19.
Menyelusuri situasi PRN Melaka yang berlangsung dalam era pandemik Covid-19, pasukan Rasuah Busters yang ditubuhkan sejak hampir setahun lalu tidak mahu terlepas peluang untuk menyebarkan mesej antirasuah dan mengajak pengundi Melaka menolak politik kotor.
Bukan sahaja bertindak memberi kefahaman dan menyampaikan mesej kesedaran rasuah kepada orang ramai, keberadaan Rasuah Busters di Melaka pastinya mahu dimanfaatkan sebagai organisasi yang memperjuangkan tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah.
Menurut Pemangku Ketua Unit Rasuah Busters, Asmaliza Mansor, bermula Ahad beberapa buah kenderaan Rasuah Busters telah berlepas dari Shah Alam untuk menjelajah ke seluruh pelusuk bumi Melaka.
Katanya, kru-kru pasukan Rasuah Busters akan bertemu dengan segenap lapisan masyarakat daripada pemimpin dan calon parti sehinggalah para pengundi untuk menekankan tentang kepentingan memilih calon pemimpin yang bersih.
“Kami akan memberi signal awal kepada orang ramai untuk menolak politik kotor, sekali gus memilih pemimpin bebas skandal rasuah, isu integriti dan tidak terlibat dengan perbuatan salah laku,” katanya.
Beliau memberitahu, Rasuah Busters juga berusaha untuk mendalami luahan hati masyarakat.
“Ayuh warga bumi Hang Tuah bangkit bersama Rasuah Busters membersihkan negara daripada amalan rasuah pada PRN Melaka,” kata Asmaliza.